AntarabangsaIsu SemasaPolitik

Kenapa AS Tak Habis-Habis Nak “Main Api” Dengan China?

China berang dengan tindakan Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), Mike Pence yang menuduh Beijing cuba masuk campur dalam pilihan raya pertengahan penggal negara itu.

Selain daripada menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu, China turut memberi amaran kepada AS untuk menghentikan perbuatan mereka yang salah ini.

“Kami menggesa AS untuk memperbetulkan salah laku mereka, berhenti menuduh dan memfitnah China tanpa asas, serta menjejaskan kepentingan China dan hubungan China-AS,” tegas jurucakap Kementerian Luarnya, Hua Chunying dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Memetik laporan AFP, Pence turut mengeluarkan pelbagai kenyataan lain yang “menyakitkan hati” China di dalam ucapannya pada hari Khamis, seperti:

1. Menuduh China melakukan pencerobohan ketenteraan

2. Melakukan pencurian komersil 

3. Melanggar hak asasi manusia

4. Melabel China sebagai “orang jahat”

“Ucapan (Pence) itu membuat tuduhan yang tidak berasas terhadap dasar domestik dan luar China, dan turut memfitnah China dengan mendakwa bahawa China masuk campur dalam hal ehwal dalaman AS dan pilihan raya.

“Perkara ini tidak membawa sebarang makna dan hanya bercakap berdasarkan khabar angin, mengelirukan apa yang betul dan salah, dan mewujudkan sesuatu yang tidak pernah wujud. Kami dengan tegas membantah perkara ini,” ujar Hua.

Minggu lepas juga, Presiden Donald Trump turut mengeluarkan kenyataan berkontroversi bahawa persahabatan beliau dengan rakan sejawatannya, Presiden Xi Jinping bakal berakhir.

Hubungan di antara kedua-dua kuasa dunia itu dilihat semakin keruh sejak beberapa minggu kebelakangan ini, lebih-lebih lagi apabila Trump mengenakan tarfi bernilai AS$250 bilion ke atas barangan China.

Tambah Hua lagi, tindakan AS yang melihat kerjasama biasa di antara negara itu bersama China sebagai “masuk campur dalam hal ehwal dalamannya” adalah satu perkara yang amat tidak masuk akal.

Tegasnya lagi, China berpegang teguh dengan prinsip “tidak masuk campur di dalam hal ehwal dalaman negara lain”.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker