Isu SemasaMalaysiaTempatan

Dah Bagi Betis, Mintak Peha Pulak…

Rata-rata masyarakat dunia, khususnya rakyat Malaysia pasti sudah tahu mengenai kisah seorang warga Syria bernama Hassan Al Kontar, yang sudah ‘menetap’ di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) sejak bulan Mac tahun ini lagi.

Sebelum ini, Hassan dilaporkan menjalani kehidupan yang selesa di Emiriah Arab Bersatu (UAE) selama 11 tahun, di mana dia mempunyai pekerjaan dan pendapatan yang stabil.

 

DIPAKSA MENJADI TENTERA DI SYRIA

Walau bagaimanapun, kehidupannya mula berubah 180 darjah apabila dipanggil pulang ke tanah airnya oleh kerajaan Syria dan “dipaksa” menjadi tentera.

Hassan enggan berbuat demikian kerana tidak mahu terlibat di dalam pergolakan dan perang saudara yang sedang berlaku di negaranya itu.

Tetapi, nasib masih tidak menyebelahi Hassan apabila pasportnya sudah mencapai tarikh luput dan terpaksa keluar daripada UAE.

Namun begitu, dia tetap tidak mahu pulang ke Syria kerana bimbang ditangkap oleh pihak berkuasa kerana menolak arahan kerajaan untuk menjadi tentera.

 

KISAH HASSAN RAIH PERHATIAN MASYARAKAT DUNIA

Kemudian, Hassan telah pergi ke Malaysia, tinggal di KLIA2, dan kerap memuat naik blog video mengenai kehidupan sehariannya di laman Twitter dan Facebook sehingga ia berjaya menarik perhatian serta simpati pelbagai pihak, termasuk kumpulan hak asasi manusia dan media antarabangsa.

Malah, vlogger terkenal, Nas Daily, turut menghasilkan sebuah video yang menceritakan nasib Hassan yang kurang bernasib baik.

Apabila mendapat tahu tentang nasibnya, sekumpulan sukarelawan dari Kanada telah memfailkan permohonan tajaan pelarian untuk Hassan pada bulan 25 April, 2018.

Ini merupakan sinar harapan untuk warga Syria itu memandangkan dia mempunyai ahli keluarga serta rakan-rakan di sana.

Bukan itu sahaja, malah mereka juga telah berjaya mendapatkan pekerjaan untuk Hassan.

Namun, proses permohonan itu akan memakan masa selama dua tahun dan masih tiada jaminan bahawa dia akan diterima masuk ke Kanada sebagai pelarian.

 

HASSAN MEMBURUKKAN MALAYSIA DI MEDIA SOSIAL?

Namun baru-baru ini, Hassan telah ditahan oleh pihak berkuasa Malaysia kerana sudah lama berada di kawasan larangan lapangan terbang tanpa pas penerbangan yang sah.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali telah mengesahkan perkara itu dan akan bekerjasama dengan kedutaan Syria untuk menghantarnya pulang.

“Kita akan terus laksanakan kerjasama dengan kedutaan Syria untuk mengeluarkan dia dari negara kita.

“Dia tidak mahu balik ke Syria, katanya kerana tidak mahu jadi tentera atau apa juga alasannya. Bagaimanapun, kita kena ada penutup (penyelesaian) kerana dia memalukan negara kita,” katanya.

Jelas Mustafar, Hassan telah masuk ke Malaysia pada Mac lalu dan selepas pasnya tamat tempoh, dia masuk ke Kemboja.

Tetapi, Kemboja tidak membenarkannya memasuki negara tersebut di atas sebab-sebab tertentu dan oleh itu, dia pulang semula ke Malaysia.

Lebih menyedihkan lagi, Mustafar turut mendedahkan bahawa Hassan telah mengeluarkan pelbagai kenyataan di media sosial yang memalukan negara kita.

“Di sana, dia tidak dibenarkan masuk kerana sebab tertentu dan dia balik ke Malaysia. Dia usahakan pelbagai cara dan keluarkan kenyataan yang memalukan negara kita di media sosial.

“Ketetapan kita ambil kerana dia berada di kawasan larangan apabila pas pelepasan dan ketetapan visa pun sudah tidak ada, maka tindakan diambil,” katanya.

 

TAWARAN SUDAH DIBERI, TETAPI DITOLAK PULA

Sementara itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Azis Jamman turut mendedahkan bahawa Hassan telah diberi tawaran untuk menjadi pelarian di Malaysia dan beberapa buah negara lain, namun dia menolaknya.

Aziz berkata, Hassan kekal dengan pendiriannya yang hanya mahu mendapatkan suaka daripada Kanada, namun permohonannya itu akan mengambil tempoh dua tahun untuk mendapat kelulusan.

“Kita tidak boleh membiarkan dia tinggal di lapangan terbang selama dua tahun. Dia juga enggan pergi ke negara lain yang sanggup menerimanya sebagai pelarian.

“Kita ingatkan dia (Hassan) akan menerima tawaran-tawaran ini dan apabila permohonannya untuk ke Kanada diluluskan, dia boleh pergi ke sana. Tetapi, dia menolaknya (tawaran). Inilah masalahnya,” kata Azis dalam satu sidang media pada Khamis.

 

 

 

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker