AntarabangsaAsiaIsu Semasa

Di Tengah-Tengah Tragedi, Ada Juga Yang Sanggup Merompak

Jumaat lepas (28 September 2018), Bandar Palu di Pulau Sulawesi, Indonesia telah dilanda bencana gempa bumi dan tsunami.

Berdasarkan maklumat terkini, bencana tersebut telah mengorbankan hampir 1,400 nyawa, manakala kira-kira 200,000 mangsa yang terselamat pula mengalami kelaparan dan dahaga kerana kekurangan bekalan makanan serta air bersih.

Menurut pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), gempa berukuran 7.5 magnitud dan tsunami itu turut memusnahkan/merosakkan lebih daripada 660,000 kediaman.

 

BAU MAYAT REPUT MENGUASAI BANDAR PALU

Dalam pada itu, Ketua Media dan Penerbitan Lazis Wahdah, Nasruddin Abdul Karim, menyatakan bahawa bau mayat reput semakin menguasai bandar berkenaan.

Beliau berkata, masih lagi ada mayat dan mangsa yang terperangkap  dalam runtuhan, namun belum dapat dikeluarkan kerana tiada jentera untuk membersihkan kawasan sisa runtuhan bangunan.

Memandangkan keadaan masih belum stabil berikutan gempa susulan berskala kecil, Nasruddin menjelaskan bahawa angka kematian dijangka akan meningkat sekiranya keadaan ini berterusan.

“Masih banyak lagi mayat yang tertimbus dan mula berulat. Setakat ini tiada lagi bantuan dari negara luar, cuma pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Indonesia sahaja yang telah tiba.

“Apa yang diharapkan mang­sa adalah makanan dan perubatan. Banyak yang lapar terutama anak-anak kecil. Kita bimbang timbul masalah kebuluran atau wabak penyakit jika mayat tidak diuruskan,” kata­nya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Tambah beliau lagi, penduduk juga terpaksa mencuri dan memecah kedai demi mendapatkan barang keperluan, khususnya makanan.

“Tiada kedai yang di buka. Bekalan elektrik juga banyak yang masih tidak berfungsi. Kebanyakan hanya mangsa ditempatkan di sekolah atau dewan yang masih elok.

“Mereka juga bimbang jika ada gempa yang lebih kuat akan berlaku. Sebab itu bantuan amat diperlukan,” jelasnya.

 

WALAUPUN DILANDA BENCANA, ADA JUGA YANG SANGGUP MENCURI

Walau bagaimanapun, terdapat juga sesetengah individu yang tidak bertanggungjawab dilihat ‘mengambil kesempatan’ terhadap tragedi ini, di mana mereka melakukan pencurian di kawasan-kawasan yang terjejas oleh bencana.

Menurut laporan media tempatan, kegiatan jenayah semakin tidak terkawal apabila terdapat juga sesetengah individu yang cuba memecahkan mesin ATM untuk membawa lari wang di dalamnya.

Sementara itu, seorang mangsa bernama Ditha Ayu Kumalasari yang menetap di kawasan perumahan eksklusif di Petobo mendedahkan bahawa kediamannya turut menjadi antara sasaran pencuri.

Bukan itu sahaja, malah hadiah perkahwinan serta mas kahwinnya turut menjadi ‘mangsa’ rompakan penjenayah.

“Rumah saya juga jadi sasaran pencuri. Beberapa pakaian saya, suami dan anak-anak sudah tiada. Laptop juga dibawa lari.

“Malah hadiah perkahwinan dan mas kahwin yang disimpan sebagai tanda kenangan juga hilang entah kemana,” ujarnya.

PENCURI AKAN DITEMBAK OLEH TENTERA

Jurucakap tentera, Kolonal Ida Dewa Agung Hadisaputra berkata, anggota-anggota tentera telah diberi arahan untuk menembak sesiapa sahaja yang didapati mencuri.

Tegas beliau, pihak berkuasa masih boleh bertoleransi sekiranya hanya makanan dan minuman yang dicuri, namun pencuri melakukan lebih daripada itu dengan membawa lari barang-barang yang berharga.

“Jika mana-mana individu didapati mencuri, kami akan mengeluarkan tembakan amaran terlebih dahulu, sebelum mengeluarkan tembakan susulan untuk menghalang perbuatan itu.

“Kami boleh bertolak ansur jika ia berlaku pada hari pertama dan kedua bencana, kerana mereka memerlukannya (makanan dan air).

“Tetapi pada hari ketiga, mereka mula mencuri barang seperti peralatan elektronik,” katanya.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker