Sukan

Scholes: “Mourinho Memalukan Kelab Ini”

Paul Scholes telah melancarkan serangan luar biasa ke atas Jose Mourinho pada awal pagi Rabu, dengan berkata dia terkejut mengapa pengurus Manchester United itu masih lagi belum dipecat serta menyalahkannya kerana ‘memalukan’ kelab itu.

Mourinho kini sibuk mahu menyelamatkan kerjayanya akibat permulaan musim baharu terburuk United sejak 29 tahun lalu, setelah mengkritik pemain-pemainnya dan pihak atasan United secara terbuka.

United mencatatkan empat perlawanan tanpa sebarang kemenangan berturut-turut serta satu lagi persembahan tidak bertenanga pada awal pagi Rabu apabila mereka seri dengan Valencia dalam perlawanan Liga Juara-juara.

Bekas pemain tengah United, Scholes percaya Mourinho sepatutnya dipecat selepas kekalahan mereka kepada West Ham pada hujung minggu yang lalu.

“Saya terduduk di sini, tidak percaya yang dia terselamat selepas malam Sabtu itu, persembahannya adalah begitu teruk.” ujar Scholes.

“Dia sering melepaskan marahnya ke atas pemain. Dia turut melepaskan kemarahannya kepada mereka yang berada di atasnya kerana tidak memberikan apa yang diingininya. Saya rasa mulutnya sudah di luar kawalan dan dia memalukan kelab ini.”

Bekas rakan sepasukan Scholes, Rio Ferdinand turut memberitahu BT Sports bahawa Mourinho patut mengambil tanggungjawab sepenuhnya ke atas masalah di United.

“Ia bukan satu etika kerja,” ujar Ferdinand.

“Sikapnya tidak sesuai. Tiada siapa yang berkata tidak mahu turun ke padang dan tidak mahu menang – semua orang mahu menang dalam perlawanan bola sepak.

“Jika anda mampu menang dengan mudah, anda akan menang dengan mudah. Bola sepak tidak mudah, anda perlu bekerja keras. Itu adalah perkara asas seorang pemain bola sepak atau mana-mana pasukan perlu ada untuk berjaya.

“Pasukan ini tidak mempunyainya, dan mengapa ia jadi begitu? Ia datang dan didorong oleh satu orang di atas, pengurusnya.”

Selepas mendapat keputusan seri di Old Trafford, Mourinho menyalahkan keupayaan pemain-pemainnya ketika bertahan, dengan berkata United “tidak mempunyai kualiti taktikal untuk menyerang daripada belakang.”

Tetapi kemudian Ferdinand dan Scholes mempersoalkan makna disebalik kata-kata Mourinho itu.

“Sejak bila pasukan di bawah kendaliannya pernah cuba melakukan serangan daripada belakang? ujar Scholes.

“Mereka sentiasa bagus ketika bertahan dan tidak pernah menjadi satu pasukan yang gemar melakukan serangan dari bahagian belakang.

“Ia tidak akan menaikkan semangat para pemainnya bukan? Lebih-lebih lagi dua orang pertahanan tengah itu.”

“Saya tidak mahu menjadi salah seorang daripada pertahanan tengah di dalam pasukan itu jika dia berkata sedemikian tentang saya.” tambah Ferdinand.

Mourinho berulang kali menyeru pemainnya untuk lebih berusaha, dengan menyatakan: “Lencana di dada adalah lebih penting daripada nama dibelakang.”

Ketika berucap sebelum sepak mula, Mourinho menambah: “Saya tidak boleh meminta lebih daripada penyokong. Saya tidak boleh meminta lebih dariapda apa yang mereka berikan ketika kami bermain di laman sendiri. Apabila bermain di tempat lawan dengan teruk, saya tidak boleh meminta lebih.

“Saya rasa sudah tiba masanya pemain di atas padang menunjukkan bahawa mereka juga sayangkan kelab ini seperti penyokong-penyokong mereka.

Walau bagaimana pun, pengurus dari Portugal itu berkeras bahawa dia tidak perlukan jaminan daripada Ed Woodward mengenai masa hadapannya.

“Saya tidak perlukan SMS dengan kata-kata manis,” ujarnya.

“Saya tidak perlu tenangkan serta saya masih ada kontrak sehingga bulan Jun 2020.

“Saya rasa tanggungjawab ke atas segala yang bagus dan buruk perlu dikongsi oleh banyak pihak, dan saya tidak perlu kata-kata sokongan atau pelukan. Saya tidak memerlukan apa-apa.”

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker