Isu SemasaTempatan

Patut Tak Pesalah Rasuah Disebat?

Baru-baru ini, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd Shukri Abdull memberi cadangan kepada kerajaan supaya membuat kajian dan pertimbangan dalam melaksanakan hukuman sebat ke atas pesalah rasuah.

Mohd Shukri berkata, cadangan itu secara langsung mencerminkan bahawa SPRM serius dalam memerangi rasuah secara habis-habisan.

Berdasarkan undang-undang sedia ada, seperti yang tertakluk di bawah Akta SPRM 2009, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada 5 kali ganda nilai suapan, atau RM10.000.00 mana-mana yang lebih tinggi.

“Kalau kesalahan menipu boleh dikenakan hukuman sebat mandatori apatah lagi jenayah rasuah… ia lebih ‘deterrent’ (bersifat pencegahan),” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Shukri turut mendedahkan bahawa walaupun hukuman penjara adalah 20 tahun maksimum, kebanyakan daripada pesalah akan membuat rayuan di mahkamah agar hukuman mereka dikurangkan, sehingga ada di antara mereka yang dipenjarakan selama hanya sehari sahaja.

 

Tegas beliau lagi, perbuatan rasuah juga merupakan antara punca utama yang menyebabkan jenayah-jenayah lain berleluasa dan oleh itu, hukuman sebat yang dicadangkan perlu dikaji secara mendalam.

MCCF SAMBUT BAIK CADANGAN SEBAT PESALAH RASUAH

Malaysian Community Care Foundation (MCCF) menyambut baik cadangan SPRM untuk mengenakan hukuman fizikal ke atas pesalah rasuah.

MCFF merupakan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang aktif mengajurkan program-program dan aktiviti-aktiviti berkebajikan khususnya berkaitan ancaman jenayah dalam komuniti, kempen kesedaran, kesihatan dan keselamatan kanak-kanak serta wanita.

Menurut pengerusinya, Halim Ishak, hukuman sedemikian diperlukan memandangkan denda serta penjara sahaja tidak cukup untuk memberi kesedaran kepada pesalah agar tidak mengulangi kesilapan itu.

Memetik laporan Bernama, Halim turut menyifatkan perbuatan rasuah sebagai “ibu segala jenayah” di Malaysia.

“Amalan rasuah dilihat semakin berleluasa dalam kalangan masyarakat Malaysia, di mana jika ia tidak ditangani dengan betul, ia akan menyumbang kepada pelbagai bentuk jenayah lain di dalam negara termasuk perjudian, pelacuran, kemasukan pendatang haram, perdagangan manusia, penyeludupan senjata, dan sebagainya,” tegas beliau.

TETAPI, AKTIVIS HAK ASASI MANUSIA BANTAH HUKUMAN SEBATAN

Aktivis-aktivis hak asasi manusia serta peguam-peguam membantah cadangan hukuman sebatan ke atas individu-individu yang disabitkan bersalah melakukan rasuah.

Peguam hak sivil, Andrew Khoo berkata, ia adalah satu cadangan yang negatif dan sekiranya hukuman ini dijadikan mandatori, ia akan ‘menyekat’ budi bicara hakim dalam menjatuhkan hukuman.

“Di bawah undang-undang antarabangsa, (Hukuman) sebat merupakan perlakuan kejam, tidak berperikemanusiaan, dan mengaibkan,” katanya, lapor The Sun Daily.

Sementara itu, peguam, Syahredzan Johan berpandangan bahawa hukuman yang lebih berat tidak semestinya dapat mencegah.

Ujar beliau, cara yang terbaik untuk menangani rasuah adalah menerusi pendidikan, kesedaran, dan menjadikan amalan tersebut sebagai tabu.

“Jika kita perlu mengenakan hukuman berat sekali pun, hukuman fizikal (sebat) tidak patut diperkenalkan,” jelasnya.

 

APA PULA PANDANGAN ANDA?

Patutkah pesalah rasuah dikenakan hukuman lebih berat seperti sebatan? Tulis pandangan anda di ruang komen!

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker