AntarabangsaIsu Semasa

Korea Selatan Isytihar “Perang” Ke Atas Berita Palsu

Pada Selasa, 2 Oktober 2018, kerajaan Korea Selatan telah mengisytiharkan perang ke atas berita palsu, sambil menyifatkan gejala itu sebagai “pemusnah demokrasi”.

Walau bagaimanapun, langkah ini mengundang kecaman puak pengkritik yang menuduh kerajaan cuba untuk menyekat hak kebebasan bersuara.

Bercakap ketika mesyuarat Kabinet, Perdana Menteri Korea Selatan, Lee Nak-yon menyatakan bahawa berita palsu telah tersebar secara meluas di seluruh negara.

Tegas beliau, berita palsu juga berpotensi memudaratkan privasi rakyat serta keselamatan dan dasar antarabangsa negara, termasuk hubungan bersama Korea Utara yang semakin baik.

Memetik laporan New York Times, Lee juga tidak terlepas daripada menjadi mangsa gejala ini, dan beliau amat berang dengan fitnah yang dilemparkan ke atasnya.

Difahamkan, beliau telah mengadakan lawatan ke Vietnam dan turut menghadiri upacara pengebumian presiden negara itu, Tran Dai Quang.

Ketika berada di Hanoi pula, Lee turut melawat kediaman Ho Chi Minh dan kemudian menulis di dalam buku pelawat bahawa beliau rasa amat “rendah diri” di hadapan pemimpin Vietnam yang “hebat” itu.

Tetapi, fakta sejarah telah digunakan sebagai ‘senjata’ untuk mengkritik Lee, memandangkan Korea Selatan bersama Amerika Syarikat (AS) pernah berjuang menentang pasukan komunis pimpinan Ho ketika Perang Vietnam.

Apabila gambar ucapan penghormatan Lee terhadap pemimpin Vietnam itu dilaporkan di berita Korea Selatan, puak pengkritik, menerusi media sosial, telah melabel beliau sebagai ‘komunis’.

Bukan itu sahaja, malah terdapat juga segelintir individu yang memfitnah bahawa Lee memberi penghormatan itu bukan kepada Ho, tetapi kepada pengasas Korea Utara, Kim Il Sung yang juga atuk kepada Kim Jong Un.

“Berita palsu adalah musuh yang berselindung di sebalik kebebasan bersuara. Kita tidak boleh lagi mengabaikannya,” ujar Lee.

Dalam pada itu, Perdana Menteri juga telah mengarahkan pihak polis dan pendakwa raya untuk menyiasat dan menghukum mereka yang “mewujudkan berita palsu dengan niat yang jahat dan menyebarnya dengan sistematik.”

Suruhanjaya Komunikasi Korea, turut digesa untuk mengambil tindakan ke atas sumber-sumber media sosial atas talian yang menjadi “platform berita palsu.”

Demi memerangi gejala ini secara habis-habisan, Lee menggesa agar undang-undang baru yang khusus diwujudkan.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker