Isu SemasaMalaysiaTempatan

Tentera Setia Kepada Raja Dan Negara, Bukan Parti Politik

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berpegang teguh kepada prinsip ‘apolitical’. Ini bermakna bahawa tentera tidak berpihak kepada mana-mana parti politik mahupun memperjuangkan parti-parti tertentu.

Menurut Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin, ATM akan berkhidmat kepada kerajaan yang memerintah serta sentiasa memberi taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada raja dan negara.

Menyifatkannya sebagai “prinsip asas yang terpenting”, Zulkfili menyatakan bahawa ia perlu diamati oleh setiap warga ATM supaya tidak berlaku sebarang bentuk salah guna kuasa selain daripada memastikan imej angkatan tentera tidak tercemar dan terus kekal sebagai sebuah badan profesional.

“Sekiranya prinsip ini tidak digalas sepenuhnya, kemungkinan besar salah guna kuasa akan berlaku dan ia akan mencetuskan konflik dan mungkin mengakibatkan pertumpahan darah, di mana ia bukan jalan penyelesaian terbaik bagi sebuah negara berdaulat,” katanya.

Memetik laporan Bernama, beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perutusan sempena Perbarisan Hari ATM di Pangkalan Udara Subang, pada Isnin, 1 Oktober 2018.

Bertemakan “ATM Teras Kedaulatan Negara”, perbarisan itu telah disertai oleh 45 pegawai tentera dan 1,163 anggota pelbagai pangkat.

Zulkifli juga menyampaikan Pingat Kedaulatan Negara, Sijil Kepujian Angkatan Tentera dan Anugerah Kesiagaan PAT kepada anggota serta pegawai tentera.

Memandangkan dunia kini sudah melangkah masuk ke dalam era Revolusi Industri keempat (Revolusi Industri 4.0), Zulkifli turut memberi peringatan kepada anggota-anggota ATM supaya sentiasa bijak menyesuaikan diri dengan teknologi terkini.

“Semua maklumat boleh diperolehi dengan mudah. Oleh itu, anggota-anggota ATM perlu menjadi matang dan jangan mudah terpengaruh oleh maklumat-maklumat yang datang daripada sumber yang tidak sahih,” tegasnya sambil menambah bahawa warga ATM juga perlu bijak menilai dan tidak terpedaya dengan berita palsu dan fitnah.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker