AntarabangsaIsu Semasa

Malaysia Tidak Lagi Percaya Suu Kyi Kerana ‘Membisu’ Isu Rohingya

Dalam satu temubual bersama agensi berita Turki, TRT baru-baru ini, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan bahawa Malaysia tidak akan lagi memberi sebarang sokongan kepada pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi susulan caranya menangani krisis Rohingya.

Dr. Mahathir berkata, Suu Kyi dilihat sudah “berubah” dan beliau sudah hilang kepercayaan ke atasnya.

“Beliau (Suu Kyi) tidak mahu berkata apa-apa terhadap tindakan yang diambil oleh tentera (Myanmar) ke atas Rohingya.

“Justeru itu, kami (Malaysia) secara jelas menunjukkan bahawa kami tidak menyokongnya lagi,” kata beliau.

Tambahnya lagi, ketika Suu Kyi mengalami tahanan di rumah, Malaysia telah berkempen untuk pembebasannya.

Dr. Mahathir turut meluahkan kekecewaannya apabila tidak mendapat sebarang respon daripada Pemenang Anugerah Nobel itu selepas beliau menulis surat kepadanya.

“Kita telah mengadu kepada dunia mengenai layanan yang diberi terhadap Rohingya. Malah, kita juga telah menerima ramai warga Rohingya di dalam negara,” ujar beliau.

Dalam pada itu, ketika berucap pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York pada minggu lepas, Dr. Mahathir turut membangkitkan isu ramai warga Rohingya yang terpaksa melarikan diri dan mencari perlindungan di Bangladesh.

Perdana Menteri juga mengkritik pihak berkuasa di Myanmar serta Suu Kyi kerana menafikan bahawa warga Rohingya dibunuh, rumah mereka dibakar, dan jutaan terpaksa menjadi pelarian.

Bukan itu sahaja, malah Dr. Mahathir turut mempersoalkan seluruh dunia kerana “berdiam diri” walaupun pembunuhan besar-besaran sedang berlaku ke atas Rohingya.

“Di Myanmar, umat Islam di wilayah Rakhine dibunuh, kediaman mereka dibakar manakala sejuta pelarian dipaksa menyelamatkan diri, lemas di lautan, berteduh di pondok jerami, ketiadaan bekalan air atau makanan, jauh sekali kemudahan sanitasi.

“Tetapi, pihak berkuasa Myanmar termasuk seorang penerima Anugerah Nobel Keamanan (Suu Kyi), menafikan itu berlaku. Saya percaya kepada prinsip tidak masuk campur dalam hal-ehwal dalaman negara lain.

“Namun apakah dunia hanya memerhatikan pembunuhan beramai-ramai berlaku tanpa berbuat apa-apa? Semua negara bebas merdeka. Tetapi apakah ia bermakna mereka mempunyai hak membunuh rakyat sendiri, hanya kerana mereka merdeka?,” tegas Dr. Mahathir.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker