MalaysiaPolitik

“Hukuman Penjara Anwar Bukan Angkara Saya”

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan bahawa hukuman penjara terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini merupakan keputusan mahkamah dan tiada kaitan dengannya.

Dalam temu bual bersama The Wall Street Journal, Dr Mahathir ditanya sama ada beliau menyesal atas tindakan undang-undang yang pernah diambil terhadap presiden PKR itu pada tahun 1990-an yang membawa kepada hukuman penjara atas tuduhan liwat.

“Tiada apa yang perlu saya sesali kerana ia telah dilakukan oleh undang-undang mahkamah. Perbicaraan berlangsung selama sembilan bulan. Semua jenis bukti telah dikemukakan dan mahkamah memutuskan hukuman yang wajar.

“Ia bukan perbuataan saya! Orang akan menyalahkan saya dalam perkara itu tetapi saya tidak campur tangan dalam keputusan mahkamah,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir menyangkal dakwaan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri untuk membolehkan kerajaan menahan seseorang tanpa perbicaraan.

“Saya tidak berbuat demikian. Anwar dibicarakan di mahkamah,” katanya lagi.

Dr Mahathir berkata pengkritiknya “mahu mengambil pandangan politik” terhadap pemenjaraan Anwar.

“Saya bukanlah pemimpin yang paling disukai di dunia Barat kerana saya kritikal terhadap kesalahan yang berleluasa di dunia (merujuk kepada kritikannya terhadap Israel). Sehingga saat ini, mereka masih mencari alasan untuk menyalahkan saya.”

Di bawah manifesto Pakatan Harapan, Anwar yang merupakan presiden PKR, akan menggantikan Dr Mahathir sebagai perdana menteri seterusnya.

Ketika ditanya sama ada Anwar boleh menjadi PM yang baik untuk Malaysia, Dr Mahathir menjawab: “Ia adalah agenda yang dikehendaki rakyat. Ia bukan soalan tentang apa yang saya suka. Jika rakyat mahukan sesuatu, mereka akan mendapatnya.”

Beliau juga menyentuh mengenai tempoh peralihan kuasa untuk membolehkan Anwar mengambil alih tampuk kepimpinannya.

“Orang ramai menyatakan dua tahun tetapi saya sepatutnya menjadi perdana menteri sementara. Ia mungkin dua tahun, mungkin satu tahun, mungkin tiga tahun. Saya tidak tahu.”

Ditekan untuk menjelaskan, Dr Mahathir menambah: “Saya tidak tahu apa yang harus saya katakan tetapi saya percaya bahawa selepas dua tahun, Anwar akan mengambil alih.”

Dr Mahathir berkata beliau menikmati hubungan yang sihat dengan Anwar.

“Anwar nampaknya agak bagus. Dia berjumpa saya; kami bercakap antara satu sama lain. Kami tidak membincangkan perkara-perkara lama kerana kami memutuskan bahawa perkara-perkara itu adalah masa lalu dan kami tidak dapat mengubahnya. Kita perlu melihat ke hadapan.” – NST

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker