Isu SemasaKesihatanSainsTempatan

Apabila Si ‘Charlie’ Menyerang

Ini bukan filem hantu terbaharu di panggung wayang tetapi ianya merupakan serangan serangga kecil yang akan menyebabkan anda kesakitan selama satu bulan lamanya.

Bagi penduduk di Shineville Garden, Ayer Itam, ianya seperti mimpi ngeri apabila kondominium mereka diserang oleh kumbang rayau yang juga dikenali oleh orang tempatan sebagai semut ‘Charlie’ ini. Igauan ini menghantui penduduk di situ selama empat tahun!

Walapun sudah melaporkan perkara ini kepada Jabatan Kesihatan sebanyak 10 kali, Charlie ini akan muncul semula setelah penyemburan dan kawalan serangga dilakukan.

Apa yang merisaukan penduduk ialah serangga ini sangat berbahaya.

Kebanyakan spesies dalam genus ini mengandungi toksin dalam hemolimfanya dan ia sebenarnya sejenis kumbang! Kumbang ini juga dikenali sebagai Paederus dalam bahasa saintifik. Ia meminjam namanya kepada paederus dermatitis, sejenis kerengsaan kulit yang berlaku apabila kulit terpijak serangga ini.

Racun yang dikeluarkan pula adalah enam kali lebih toksik berbanding kobra!

Antara mangsa Charlie yang dilaporkan TheStar ialah kanak-kanak berumur dua tahun, P. Sushiksha. 

Pada awalnya ibu Sushiksha, K. Pragalathen, 37, menyangka anaknya alahan kepada sesuatu apabila terlihat kesan seperti keradangan di muka anaknya.

Balik dari klinik, mereka dibekalkan krim. Tetapi hari berikutnya, radang itu melepuh dan mereka sedar ianya bukan alahan tapi berpunca daripada si Charlie.

Mereka tinggal di tingkat 20 tetapi sangat sukar untuk menyingkirkan kehadiran sang kumbang ini.

“Kehadiran kumbang rayau ini di kawasan ini adalah bermusim. Mereka hanya hadir apabila musim hujan tiba. Laporan telah dibuat dan operasi semburan telah dilakukan. Pihak pengurusan juga telah cuba menggunakan racun anai-anai tetapi kumbang rayau ini tetap kembali,” kata Choon Keong, timbalan pengerusi pengurusan pangsapuri tersebut.

Seorang pegawai daripada Jabatan Kesihatan telah mengambil sampel kumbang rayau ini dan akan mengkaji lebih tentang perkara ini untuk tindakan selanjutnya.

Menurut Phee Boon Poh, Pengerusi Pasukan Peronda Sukarela (PPS), kumbang rayau ini sering kelihatan setelah musim padi dituai dan apabila pembakaran terbuka padi dilakukan.

Mereka juga tertarik dengan lampu. Menurut Boon Poh lagi, menyembur dengan racun serangga adalah efisyen tetapi jangan cuba untuk memukul mahupun menekan mereka jika ia hinggap di atas badan manusia.

Ini kerana bahan kimia yang dikeluarkan oleh mereka akan menyebabkan kulit manusia melepuh dan ia akan mengambil masa sebulan untuk baik. 

Jika mangsa terkena kumbang ini, cepat-cepat basuh dengan air mengalir dan sabun. Ini adalah untuk mengelak bahagian kulit yang lain terkena.

Sentuhan kulit dengan kumbang rayau ini tidak mendatangkan kesan semerta, tetapi ia mengambil masa 12–36 jam.

 

Sumber imej terencana: saatakukaupilih.blogspot.com

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker