Sukan

Serbegeth: Persoalkan Mereka Yang Bersetuju Dengan Gaji Teong Kim

Apabila para pengkritik mempersoalkan mengenai gaji bebas cukai sebanyak RM175,000 sebulan bekas jurulatih kebangsaan Bawah-16, Lim Teong Kim yang turut menyandang jawatan sebagai pengarah Akademi Mokhtar Dahari (MDA), bekas pemain antarabangsa Serbegeth Singh pula telah mempertahankannya.

Serbegeth, yang lebih dikenali sebagai Shebby berkata pihak yang bersetuju untuk memberikan bayaran sebanyak itu di dalam kontrak Teong Kim yang patut menjelaskan mengapa dia dibayar sebegitu banyak.

“Jika seseorang itu mendapat gaji yang lumayan, ia adalah kerana mereka bernasib baik untuk mendapat jumlah itu. Ia tiada kena mengena dengan pencapaian lepas…ia adalah satu pekerjaan.

“Mereka yang bersetuju dengan jumlah gaji itu patut dipersoalkan sama ada ia adalah wajar untuk membayar Teong Kim dengan jumlah itu jika mengikut pekerjaan yang disandang, pengalaman dan status.

“Jadi kita tidak boleh menyalahkan Teong Kim jika ada orang yang menawarkan gaji yang tinggi. Saya tidak melihat itu sebagai satu isu,” ujar Serbegeth.

Baru-baru ini, gaji Teong Kim didedahkan oleh menteri Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Walau bagaimanapun, pihak kementerian akan mengkaji semula gajinya berdasarkan keadaan kewangan semasa Majlis Sukan Negara.

Serbegeth turut menggesa semua pihak agar berhenti mengkritik pasukan Bawah-16 kebangsaan apabila mereka gagal mencapai sasaran layak ke Piala Dunia Bawah-17 yang akan diadakan pada tahun hadapan di Peru.

“Jika ini diteruskan, ia akan memberi kesan kepada psikologi para pemain. Pemain-pemain muda ini adalah masa depan kita dan kita tidak mahu mereka terjejas akibat kritikan.

“Saya terkejut apabila pemain Bawah-16 kita telah dilabel sebagai gagal, sedangkan ramai yang menggesa agar bekas jurulatih kebangsaan Nelo Vingada diberi masa apabila pasukannya gagal untuk memenangi sebarang perlawanan pada tahun lepas.

“Saya kasihankan anak-anak Bawah-16 yang terpaksa menerima semua ini. Ia bukan satu kegagalan…ia adalah satu langkah ke hadapan. Ia bukan satu perkara yang besar pasukan Bawah-16 kita gagal untuk melayakkan diri ke Piala Dunia Bawah-17. Mereka masih ada masa untuk memperbaiki diri dan menjadi lebih baik,” tambah Serbegeth.

Dalam perkembangan lain, bekas Menteri Sukan Khairy Jamaluddin berkata keputusan untuk membayar Teong Kim sebanyak RM175,000 sebulan adalah adil kerana reputasinya yang besar apabila dia menjadi penolong jurulatih pemain muda di Bayern Munich.

Khairy menambah bahawa Teong Kim telah berjaya membangunkan pemain antarabangsa Jerman seperti Thomas Muller dan Tony Kroos ketika mereka bersama dengan pasukan belia Bayern.

“Jumlah gaji itu adalah satu tawaran untuk membawa Teong Kim pulang ke Malaysia bagi mengetuai Progam Pembangunan Bola Sepak Malaysia (NFDP),” ujar Khairy yang turut menyatakan beliau dan Majlis Sukan Negara telah memutuskan gaji yang diberikan kepada Teong Kim adalah satu pelaburan jangka panjang.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker