AntarabangsaIsu Semasa

Dilema Australia: AS Sekutu Rapat, Tetapi China Rakan Dagang Terbesar

Perang dagang di antara Amerika Syarikat (AS) dan China berpotensi menjejaskan Australia dengan teruk.

Walaupun AS merupakan sekutu paling rapat Australia, ekonomi negara itu amat bergantung kepada China memandangkan Beijing merupakan rakan dagang yang terbesar bagi Canberra.

Memetik laporan Straits Times, jumlah perdagangan Australia-China pada tahun 2016-2017 adalah A$174.7 bilion (RM520 bilion), yang bersamaan 24% daripada perdagangan keseluruhan Australia.

 Rakan dagang kedua terbesar negara itu adalah Jepun dengan jumlah perdagangan bernilai A$68.6 bilion (RM204.8 bilion), diikuti AS pada tangga ketiga, A$66.5 bilion (RM198.6 bilion).

Berdasarkan sebuah kajian yang dilakukan oleh syarikat audit tempatan KPMG, perang dagang berskala penuh, di mna semua negara meningkatkan tarfi, boleh menyebabkan Australia rugi A$500 bilion (RM1.49 trilion) dalam tempoh 10 tahun, serta menjejaskan 60,000 pekerjaan di sana.

Malah, sekiranya perang dagang berlaku pada skala yang kecil sekali pun, keluaran dalam negara kasar (KDNK) Australia masih akan jatuh 0.3% selepas lima tahun, dengan kerugian bernilai A$36 bilion (RM107.5 bilion).

“Australia dan negara-negara lain perlu melawan tekanan untuk mengenakan atau meningkatkan tarif terhadap barangan yang diimport dari AS dan China, kerana tindakan tersebut hanya akan mendatangkan lebih mudarat berbanding manfaat ke atas ekonomi masing-masing,” kata KPMG di dalam laporannya.

Sementara itu, permintaan sumber bumi, diikuti kedatangan pelancong dan pelajar China ke Australia, telah membantu negara itu menikmati perkembangan ekonomi pesat yang berterusan selama 27 tahun, lebih banyak daripada negara-negara maju yang lain.

Menteri Perdagangan Australia, Simon Birmingham turut meluahkan kebimbangannya mengenai penguatkuasaan tarif dan cubaan terbaru AS untuk mengganggu undang-undang tradisional perdagangan bebas antarabangsa.

“Kami menggesa semua negara untuk terus menghormati, dan mematuhi undang-undang antarabangsa berhubung proses perdagangan (global) yang telah lama diwujudkan.

“Kita juga amat kecewa dengan pentadbiran AS kerana telah mengenakan tarif yang bertentangan dengan peraturan tersebut, sama seperti kebimbangan kami terhadap tindakan negara-negara lain dari segi subsidi industri yang mereka mungkin akan laksanakan dalam cara yang berlainan,” ujarnya.

Mengulas mengenai situasi ini, Majlis Perniagaan Australia menyatakan bahawa negara berkenaan perlu mencari lebih ramai rakan dagang dan meningkatkan perdagangan dengan India, Eropah dan Britain.

“(Kerajaan Persekutuan) perlu menjadikan ekonomi negara menjadi lebih berdaya tahan, dan kurang terdedah kepada perubahan global,” kata ketua eksekutifnya, Jennifer Westacott.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker