BudayaGaya Hidup

“Jingrwai Lawbei” Memberi Melodi Kepada Kampung Terpencil

Gemersik suara dan melodi bergema di dalam hutan di sekitar Kongthong, sebuah kampung terpencil di India, tetapi ia bukan siulan burung-burung. Ia adalah suara penduduk kampung yang memanggil satu sama lain melalui muzik, satu tradisi luar biasa yang sangat unik.

Di celah-celah bukit yang tersergam indah di negeri timur laut Meghalaya, ibu-ibu dari Kongthong dan beberapa kampung setempat yang lain mencipta melodi khas untuk setiap nama anak-anak mereka.

Semua orang di kampung itu, yang didiami oleh orang Khasi, akan menggunakan melodi tersebut sebagai pengganti nama mereka untuk seumur hidup. Mereka juga mempunyai nama “sebenar” tetapi jarang digunakan.

Kampung ini dihiasi melodi yang harmoni di mana seorang ibu akan memanggil anaknya untuk pulang ke rumah dalam bahasa muzik yang luar biasa.

Image result for jingrwai lawbei

Budaya ini dikenali sebagai “jingrwai lawbei”, yang bermaksud “lagu wanita pertama klan”, merujuk kepada mitos ibu pertama di Kongthong.

“Komposisi melodi itu berasal dari dasar hati saya,” kata ibu kepada tiga orang anak, Pyndaplin Shabong kepada AFP.

“Ia mengungkapkan kegembiraan dan kasih sayang saya kepada anak saya,” jelas wanita berusia 31 tahun itu.

“Tetapi jika anak saya melakukan sesuatu yang salah dan saya marah kepadanya, pada masa itu saya akan memanggilnya dengan nama sebenar dan bukannya menyanyi dengan penuh kasih sayang,” kata Rothell Khongsit, ketua kampung Kongthong.

Harmoni dengan alam semula jadi

Related image

Kongthong telah lama terputus dari dunia luar. Ia mengambil masa beberapa jam perjalanan sukar untuk sampai ke bandar terdekat. Elektrik tiba di kampung itu hanya pada tahun 2000, dan jalan tanah pada tahun 2013.

Aktiviti harian dihabiskan di hutan untuk mencari rumput penyapu yang menjadi sumber pendapatan utama penduduk Kongthong.

Untuk memanggil satu sama lain semasa di hutan, penduduk kampung akan menggunakan versi melodi panjang sekitar 30 saat dari “nama” muzik masing-masing, diilhamkan oleh bunyi alam sekitar di sekelilingnya.

“Kami tinggal di kampung-kampung yang jauh, kami dikelilingi oleh hutan yang tebal dan bukit-bukau, jadi kami berhubung dengan alam semula jadi, kami berhubung dengan semua makhluk hidup yang telah diciptakan Tuhan,” kata Khongsit.

Dan luar biasa untuk India, masyarakat Kongthong adalah matrilineal di mana harta dan tanah diwasiatkan dari ibu kepada anak perempuan, sementara suami akan berpindah ke rumah isterinya dan mengambil nama si isteri.

“Kita menganggap ibu sebagai dewi keluarga. Seorang ibu menjaga keluarga, setelah warisan yang diperoleh dari nenek moyang kita,” kata Khongsit.

Dunia moden

Related imageTetapi menurut ahli antropologi Tiplut Nongbri, seorang profesor di universiti Jamia Millia Islamia di Delhi, ia adalah masyarakat “patriarki yang menyamar”.

“Wanita tidak mempunyai kuasa membuat keputusan. Secara tradisinya, mereka tidak boleh mengambil bahagian dalam politik, peraturannya jelas di antara lelaki dan wanita,” katanya kepada AFP.

“Menjaga anak-anak, itu adalah tanggungjawab wanita dan pertukangan pula tugas kaum lelaki.”

Asal “jingrwai lawbei” tidak diketahui, tetapi penduduk setempat menganggapnya sudah lama seperti kampung itu yang telah wujud selama lima abad.

Tradisi itu semakin berkurangan apabila dunia moden merayap masuk ke Kongthong dalam bentuk televisyen dan telefon bimbit.

Beberapa nama melodi yang lebih baru diilhamkan oleh lagu-lagu Bollywood. Dan anak-anak muda semakin melupakan melodi nama mereka kerana lebih memilih untuk menggunakan telefon.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker