MalaysiaPolitik

Di Mana Ada Anwar Ibrahim, Di Situ Muncul Saiful Bukhari

Kisah politik Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Mohd Saiful Bukhari Azlan ibarat drama rantaian yang tidak berkesudahan. Dalam perkembangan terbaru, Saiful Bukhari akan bertanding di pilihan raya kecil Port Dickson sebagai calon bebas.

Bekas pembantu kepada Anwar Ibrahim itu memberitahu The Star bahawa dia akan bertanding semata-mata sebagai seorang calon bebas tanpa sebarang pihak yang menyokongnya.

“Saya tidak bertanding kerana masa lalu saya dengan Datuk Seri Anwar tetapi atas sebab-sebab lain, saya telah memikirkannya secara menyeluruh dan saya rasa ia adalah langkah yang betul,” katanya.

Anwar, yang bercakap pada sidang akhbar sejurus selepas itu, berkata beliau akan menasihati penyokongnya untuk tidak mengambil tindakan terhadap serangan peribadi, tetapi beliau juga mengatakan tuduhan Saiful yang “berniat jahat” pada masa lalu perlu diambil kira.

“Sudah tentu saya akan menasihati penyokong saya untuk tidak menghina calon lain tetapi anda juga perlu melihat usaha jahat yang pernah dilakukan pada masa lalu.”

Anwar berkata beliau tidak akan terkesan dengan prospek Saiful menggunakan dakwaan sodomi sebagai taktik kempen terhadapnya.

“Itu adalah masalahnya dan saya tidak mahu campur tangan. Saya mahu memberi tumpuan penuh kepada kerja saya dan saya rasa kepimpinan mengambil keputusan yang sama,” kata Anwar.

Anwar dan Saiful berjabat tangan di pusat penamaan calon di Port Dickson

Saiful mendapat perhatian pada 2008 apabila menuduh Anwar meliwatnya di sebuah kondominium di Damansara, mencetuskan kes mahkamah yang sensasi.

Anwar kemudiannya dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada tahun 2012 atas tuduhan meliwat.

Walau bagaimanapun, pembebasan itu dibatalkan oleh Mahkamah Rayuan pada Mac 2014, dan presiden PKR itu ditahan dengan hukuman penjara lima tahun yang menghalangnya daripada bertanding dalam pilihan raya umum ke-14.

Berikutan kemenangan Pakatan Harapan dalam PRU-14, Anwar dibebaskan dari penjara selepas mendapat pengampunan penuh oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam mengumumkan senarai 7 orang calon untuk pilihan raya di Port Dickson selepas tempoh penamaan berakhir pada jam 10 pagi.

Mereka yang bertanding untuk kerusi tersebut ialah presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mewakili Pakatan Harapan, Mohd Nazari Mokhtar dari PAS, dan lima calon Bebas; bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Samad, Stevie Chan, Lau Seck Yan, Kan Chee Yuen dan Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Kerusi Parlimen Port Dickson kosong selepas penyandangnya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah meletak jawatan dari kerusi pada 12 September untuk membolehkan Anwar, yang baru-baru ini memenangi jawatan presiden PKR tanpa bertanding, untuk bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker