Hiburan

1MDB Ke Hollywood, Bakal Diterbitkan Oleh Michelle Yeoh

Penerbit filem Crazy Rich Asians, Ivannhoe Pictures, anak syarikat SK Global, berjaya mendapatkan hak penerbitan filem untuk buku “Billion Dollar Whale: The Man Who Fooled Wall Street, Hollywood, and the World.”

Bersama menerbitkan filem itu ialah pelakon ternama kelahiran tempatan Tan Sri Michelle Yeoh yang akan memeterai perjanjian baharu dengan syarikat tersebut.

Yeoh yang juga bakal muncul dalam Master Z: The Ip Man Legacy, menandatangani perjanjian pertama dengan SK Global bulan lepas sekaligus mempunyai hak menerbitkan, mengarahkan dan memilih peluang berlakon untuknya. Namun belum ada kepastian sama ada pelakon itu akan membuat penampilan dalam filem itu.

Yeoh baru-baru ini memuji buku Billion Dollar Whale dan memuat naik gambar di Facebook. Walau bagaimanapun, pelakon antarabangsa yang berasal dari Ipoh itu menerima kritikan di Twitter kerana pernah secara terbuka menyatakan sokongannya terhadap bekas perdana menteri Najib Abdul Razak pada tahun 2013.

Related image

Buku yang ditulis Tom Wright dan Bradley Hope itu baru sahaja memasuki senarai buku paling laris New York Times dan dipasarkan di Malaysia sejak 18 September lalu.

“Tom dan Bradley telah mengarang sebuah cerita dengan gaya penceritaan yang sangat mengujakan. Ia usaha terbaik dalam kewartawanan penyiasatan dengan menggabungkan naratif dan watak yang terlibat dalam skandal tersebut sehingga menjadikan pengalaman membaca buku tersebut sangat mendebarkan.

“Hasilnya sangat membanggakan kerana buku tersebut mendedahkan lebih daripada apa yang kita sangkakan selama ini,” kata John Penotti, Presiden SK Global.

Sebelum ini, SK Global telah menerbitkan filem Crazy Rich Asians bersama Warner Bros yang telah mengutip lebih AS$200 juta di pawagam seluruh dunia.

“Kami sangat gembira untuk bekerjasama dengan SK Global dalam membawa cerita luar biasa Jho Low, Gatsby moden, ke layar perak,” kata Tom Wright, pengarang bersama Billion Dollar Whale.

Image result for michelle yeoh billion dollar whale

“Billion Dollar Whale” merupakan usaha penyiasatan dua wartawan Wall Street Journal yang mendedahkan bagaimana wang milik syarikat 1MDB yang didakwa diseleweng dalam satu skandal pengubahan wang haram terbesar dunia.

Dalam kes yang masih dalam siasatan pihak berkuasa Malaysia, Singapura, Switzerland dan Amerika Syarikat itu, dikatakan sejumlah AS$5 bilion telah dicuri oleh Jho Low, seorang rakyat Malaysia yang juga perancang utama penyelewengan tersebut.

Dikenali sebagai “Gatsby Asia” Jho Low terkenal dengan perbelanjaannya yang mewah. Wangnya diseleweng dari ahli politik Malaysia dan pegawai bank antarabangsa yang tamak dan diberikan kepada selebriti Hollywood seperti Leonardo DiCaprio, Martin Scorsese, Miranda Kerr, Jamie Foxx dan Alicia Keys.

Jho Low masih diburu pihak berkuasa di seluruh dunia dan dikatakan masih bersembunyi di Asia.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker