Isu SemasaTempatan

TNB Bakal Tawar Perkhidmatan Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi?

Awal bulan ini, syarikat elektrik terkemuka negara, Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengumumkan hasrat untuk memperluaskan perkhidmatan mereka daripada penyedia elektrik kepada jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB).

Oleh yang demikian, TNB akan memulakan projek rintis di Melaka untuk menguji kebolehlaksanaan dalam menyediakan perkhidmatan jalur lebar menerusi rangkaian gentian optiknya.

Kemasukan TNB di dalam pasaran perkhidmatan jalur lebar ini juga berpotensi untuk mengakhiri monopoli Telekom Malaysia (TM).

Menurut seorang eksekutif industri, sekiranya syarikat elektrik itu melakar kejayaan dalam projek ini, lebih ramai pemain yang menawarkan perkhidmatan jalur lebar dijangka akan mula memasuki pasaran sekali gus mewujudkan persaingan kompetitif yang akan menyumbang kepada penurunan harga pakej internet berkelajuan tinggi.

Memetik laporan The Star, TNB mempunyai rangkaian gentian optik yang luas, meliputi 12,000 kilometer di seluruh negara.

Ini bermakna, ia mempunyai akses terhadap kira-kira 8 juta orang pelanggan.

Projek rintis jalur lebar ini akan mula dilaksanakan di Jasin pada bulan ini untuk menilai kebolehlaksanaan dari aspek teknikal, keselamatan, dan komersil dengan menggunakan infrastruktur elektrik TNB.

Pengerusi TNB, Tan Sri Leo Moggie dalam satu kenyataan berkata, inisiatif ini akan membolehkan pengguna menikmati akses internet yang lebih laju, murah dan luas.

Jelas beliau, projek ini dijangka akan siap pada penghujung tahun 2018, dengan membabitkan 1,100 daripada 4,300 rumah di Taman Merbau, Taman Maju, dan Felda Kemendor.

“Isi rumah itu akan mendapat akses rangkaian HSBB yang disediakan mmelalui gentian optik TNB, yang membentuk sebahagian daripada rangkaian komunikasi sedia ada kami,” katanya.

Berdasarkan laporan World Bank Malaysia’s Economic Monitor pada bulan Jun 2018, kekurangan persaingan di dalam pasaran merupakan faktor pihak-pihak tertentu menyediakan jalur lebar berkelajuan rendah dengan harga yang tinggi.

Walaupun terdapat 2.6 juta pelanggan jalur lebar pada penghujung bulan Mac tahun ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Sigh menjelaskan bahawa masih terdapat lagi ruang untuk akses yang lebih luas.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker