Bisnes & EkonomiTips Kewangan

Apakah Takaful Yang Benar-Benar Saya Perlu Miliki?

Pertambahan syarikat-syarikat takaful sejak kebelakangan ini merancakkan lagi industri takaful di Malaysia. Persaingan antara mereka memberi pilihan kepada para pelanggan untuk mendapatkan insurans yang terbaik untuk diri dan keluarga mereka.

Jadi, polisi yang mana satu patut saya ambil?

Menurut Majalah Niaga, secara umumnya hanya ada 4 sahaja kategori perlindungan takaful yang anda perlukan.

Keempat-empat kategori takaful ini saling lengkap-melengkapi antara satu lain. Ia memberi perlindungan untuk 4 jenis musibah yang jarang-jarang berlaku di dalam hidup kita, tetapi memberi impak kewangan yang cukup besar sekiranya ia berlaku.

1. Takaful Perlindungan Kematian & Lumpuh

Pengakhiran hidup ini adalah kematian. Jadi di sini perlindungan takaful untuk kematian akan berfungsi. Ia memberi pampasan tunai kepada keluarga si mati untuk meneruskan komitmen kewangan keluarga tersebut.

Sebagai contoh, jika seseorang pemegang polisi tadi seorang suami dan juga ayah, maka wang pampasan perlindungan ini diperoleh oleh isteri dan anak-anaknya. Maka dengan wang pampasan ini, isteri dan anak-anaknya dapat meneruskan hidup seolah-olah pendapatan suami serta ayah mereka masih berjalan sekalipun beliau sudah tiada.

2. Takaful Perlindungan Penyakit Kritikal

Seperti kategori pertama, pampasan untuk penyakit kritikal juga dalam bentuk tunai kepada pemegang polisi. Ia memberi perlindungan sebaik sahaja pemegang polisi menghidap salah satu daripada 40 jenis penyakit yang dilindungi seperti strok, kanser, koma, sakit jantung dan sebagainya.

Perlu diingatkan di sini, ia memberi pampasan hanya selepas disahkan oleh doktor. Fungsi perlindungan ini juga sama seperti kategori pertama iaitu untuk menyara hidup pemegang polisi serta keluarganya selepas menghidap penyakit kritikal.

3. Takaful Perlindungan Kemalangan Diri

Takaful jenis ini adalah yang paling murah di pasaran. Malah kadang-kadang ia diberikan percuma apabila anda membeli rumah atau membuka akaun simpanan di bank atau menandatangani borang kad kredit.

Ia bukan perlindungan untuk kemalangan kereta. Takaful kereta hanya memberi pampasan kepada kereta sahaja, tetapi bukan kepada pemilik kereta. Maka dengan hanya mengambil polisi kemalangan peribadi, ia turut memberi perlindungan kepada pemilik kenderaan apabila berlaku kemalangan.

Ia meliputi perlindungan kecederaan, lumpuh sementara, putus anggota lumpuh kekal dan juga kematian akibat kemalangan. Sebagaimana kategori pertama, dan kedua, ia memberi pampasan dalam bentuk tunai.

4. Takaful Perlindungan Rawatan Hospital & Pembedahan

Ia juga dikenali sebagai medical card atau medic assist atau insurans kesihatan. Ramai yang tersalah anggap bahawasanya dengan memiliki perlindungan penyakit kritikal, mereka tidak perlu lagi kepada perlindungan rawatan hospital.

Sebenarnya, perlindungan penyakit kritikal memberi pampasan untuk sara hidup pemegang polisi, sebaliknya perlindungan rawatan hospital memberi pampasan dalam bentuk pembayaran bil di hospital.

Ia tidak memberi sebarang nilai tunai kepada pemegang polisi, sebagaimana perlindungan takaful kategori pertama, kedua dan ketiga.

Tidak seperti perlindungan penyakit kritikal, ia tidak semestinya seseorang perlu menghidap penyakit kritikal untuk mendapat pampasan perlindungan ini. Sebaik sahaja kemasukan ke hospital, ia terus memberi pampasan kepada pemegangnya dengan cara pembayaran bil.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker