Isu SemasaTempatan

Apa Yang Anwar Nak, Tetapi Mahathir Tak Nak?

Minggu lepas, Ketua Umum Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah ditemubual di dalam rancangan Upfront Al-Jazeera.

Ketika wawancara itu berlangsung, Anwar turut mengkritik undang-undang liwat yang dilaksanakan di Malaysia dengan menyifatkannya sebagai “kuno, ketinggalan zaman, dan tidak adil.”

Belau berkata, undang-undang berkenaan adalah hasil peninggalan penjajahan kolonial British yang pada asalnya diperkenalkan di India.

Difahamkan, individu yang disabitkan bersalah melakukan liwat boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tempoh 20 tahun, serta sebatan.

Menjadikan kes liwat yang pernah dihadapi olehnya sebanyak dua kali sebagai rujukan, Anwar menggesa agar undang-undang tersebut dipinda memandangkan ia adalah satu perkara yang tidak adil untuk mengenakan tuduhan kepada pesalah tanpa bukti yang kukuh.

“Ia benar-benar tidak adil kerana seseorang itu boleh dituduh tanpa bukti yang kukuh… dalam kes saya dengan tiada bukti yang jelas, saya didakwa dan dikenakan hukuman.

“Undang-undang itu mesti dipinda untuk memastikan proses keadilan berjalan tanpa mengira orientasi seksual seseorang itu.

“Ini mengenai apa yang dilakukan oleh individu atau ia dilakukan secara terbuka atau perkara itu melanggar norma majoriti rakyat Malaysia bukan sahaja umat Islam, Kristian, Hindu, Buddha di negara ini,” katanya.

Walau bagaimanapun, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan bahawa Malaysia tidak akan meminda undang-undang liwat berkenaan memandangkan ia adalah satu perbuatan yang keji.

Tegas beliau lagi, perbuatan itu juga tidak diterima negara ini selain daripada menyalahi ajaran agama Islam.

“Malaysia adalah negara Islam dan tiada toleransi terhadap perbuatan itu. Kebanyakan negara di dunia mungkin boleh menerima perbuatan terbabit tetapi bukan kita kerana ia juga bertentangan dengan agama,” kata beliau di dalam satu temubual sempena penyertaannya dalam Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, Amerika Syarikat baru-baru ini.

Anwar sebelum ini pernah dikenakan hukuman penjara pada 1999 dan 2000 di atas kesalahan rasuah dan liwat sebelum sabitan itu dibatalkan.

Beliau turut menjalani hukuman penjara lima tahun selepas didapati bersalah dalam kes liwat sejak Februari 2015.

Namun begitu, Anwar kemudian dibebaskan selepas kemenangan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada bulan Mei lalu apabila menerima pengampunan penuh daripada Yang di-Pertuan Agong.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker