Isu SemasaPolitikTempatan

Semata-Mata Untuk Buat Satu Perkara Ini, Isa Samad Tinggalkan UMNO

Minggu lepas, kita dikejutkan dengan berita yang menyaksikan dua pemimpin tinggi UMNO, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Datuk Seri Anifah Aman bertindak keluar daripada parti itu.

Namun dalam sebuah sidang media tergempar pada Khamis malam, 27 September 2018 pula, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad mendedahkan bahawa beliau juga meninggalkan parti keramat itu dan telah menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada UMNO Bahagian Teluk Kemang pada Selasa (28 September).

“Maknanya saya dah berhenti dari jadi ahli UMNO. Jadi tak timbul soal dipecat ke apa sebab saya dah berhenti dari jadi ahli,” katanya.

Tetapi, sebab Isa keluar daripada UMNO ternyata memberi kejutan kepada pelbagai pihak.

Memetik laporan media tempatan, beliau berbuat demikian kerana ingin bertanding sebagai calon Bebas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson, yang akan berlangsung pada 13 Oktober nanti.

“Memandangkan UMNO tidak bertanding, jadi saya menawarkan diri untuk bertanding. Mengikut peraturan parti, saya sepatutnya dipecat.

“Saya sudah lama menjadi ahli UMNO, dan sebab itu saya meletak jawatan sebagai ahli, jadi mereka tidak perlu memecat saya. Sebaliknya, saya ‘memecat’ diri saya sendiri,” jelasnya.

Mengulas mengenai keputusan UMNO untuk tidak bertanding dalam PRK Port Dickson, Isa menyifatkan perkara itu sebagai satu “kerugian.”

Tambah Isa lagi, beliau juga tidak berbincang dengan mana-mana barisan pemimpin tertinggi parti itu mengenai hasratnya untuk bertanding.

“Mereka tidak tanya saya. Jadi tidak ada keperluan bagi saya untuk tanya mereka,” katanya.

Menggelar dirinya sebagai “anak jati Port Dickson”, Isa menyatakan bahawa beliau tidak perlu bermegah dengan pencapaiannya di sana, memandangkan beliau sudah mempunyai rekod yang baik dalam berkhidmat kepada rakyat di kawasan Parlimen tersebut.

“Saya telah berkhidmat untuk masyarakat di sini lebih 40 tahun dan orang Port Dickson kenal dan tahu perkhidmatan saya. Saya serahkan kepada mereka untuk membuat keputusan sama ada saya sesuai untuk menjadi Ahli Parlimen,” katanya.

Port Dickson mempunyai 72,212 pengundi berdaftar yang terdiri daripada 42.7% Melayu, 33.1% Cina, dan 22% India.

PRK ini juga bakal menyaksikan pertempuran lima penjuru di antara Pakatan Harapan (PH), PAS, Parti Rakyat Malaysia, serta dua calon Bebas.

Adakah anda rasa Isa boleh memenangi hati rakyat di Port Dickson pada 13 Oktober nanti? Kongsikan pandangan anda di ruang komen.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker