AntarabangsaIsu Semasa

“Satu-Satunya Dosa Saya Adalah Melakukan Pembunuhan Tanpa Bicara” – Duterte

Presiden Filipina, Rodrigo Duterte amat popular dengan sifat ganasnya dalam memerangi pelbagai bentuk jenayah, khususnya dadah.

Baru-baru ini, beliau buat pertama kali mengakui secara terbuka bahawa pentadbirannya melaksanakan pembunuhan tanpa bicara di dalam kempen perang dadah, dan perkara ini boleh menyebabkan beliau didakwa di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Di dalam sebuah ucapan pada Khamis, 27 September 2018, Duterte turut mengulas lanjut bahawa kempen brutal tersebut telah meragut nyawa ribuan orang sepanjang dua tahun beliau memerintah Filipina.

Dalam pada itu, presiden yang dikenali sebagai “The Punisher” itu turut menyatakan bahawa beliau pernah mencabar tentera dan polis tempatan untuk ‘memecatnya’ sekiranya mereka tidak berpuas hati dengan cara beliau mentadbir negara.

“Saya memberitahu tentera, apa salah saya? Pernahkah saya mencuri walaupun satu peso (matawang Filipina)?

“Satu-satunya dosa saya adalah melakukan pembunuhan tanpa bicara,” katanya.

Walau bagaimanapun, pengakuan Duterte ini meningkatkan lagi kredibiliti dakwaan kumpulan-kumpulan hak asasi manusia yang selama ini menentang tindakan beliau membunuh suspek-suspek dadah secara besar-besaran.

Memetik laporan New York Times, dua aduan jenayah telah pun difailkan ke atas presiden itu di ICC, yang berpangkalan di The Hague.

Berang dengan “campur tangan asing” di dalam hal ehwal dalaman negaranya, Duterte bertindak menarik Filipina keluar daripada sebuah perjanjian antarabangsa yang menubuhkan mahkamah berkenaan.

Berdasarkan anggaran Polis Kebangsaan Filipina, mereka telah membunuh kira-kira 4,500 pengguna dan pengedar dadah dalam pelbagai operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan sejak dua tahun lalu.

Polis turut bertegas bahawa semua pembunuhan yang dilakukan itu adalah penggunaan kekerasan yang “sah di sisi undang-undang”.

Sementara itu, kumpulan-kumpulan hak asasi mansuia, termasuk Human Rights Watch pula menganggarkan bahawa jumlah nyawa yang terkorban di dalam perang dadah Duterte adalah 12,000, di mana kebanyakan daripada mereka dibunuh oleh polis.

Romel Bagares, seorang peguam untuk kumpulan Philippine Coalition for the International Criminal Court  (PCICC), menyifatkan kenyataan Duterte sebagai yang “pengakuannya yang paling langsung bahawa beliau bertangunggjawab melakukan” pembunuhan tanpa bicara.

“Dan saya terkejut kerana tiada sebarang bentuk penafian daripada istana (pejabat Duterte) sejak beliau membuat pengakuan itu.

“Saya pasti ia (pengakuan) juga akan menjadi perkara yang amat ‘menarik’ di Pejabat Pendakwa Raya ICC, yang kini sedang memulakan siasatan awal ke atas perang dadahnya,” jelas Bagares.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker