Isu SemasaTempatan

Malaysia Akan Jadi Negara Asia Pertama Membenarkan Perubatan Daun “G”?

Kemarahan awam terhadap hukuman mati yang dijatuhkan terhadap seorang lelaki berusia 29 tahun, telah mendorong Malaysia memulakan perbincangan untuk membenarkan penggunaan ganja dalam perubatan, sekaligus menjadi negara Asia pertama yang melakukannya.

Kabinet dengan ringkas membincangkan nilai perubatan ganja dalam satu mesyuarat minggu lalu dan telah memulakan perbincangan awal dan tidak formal mengenai pemindaan undang-undang yang berkaitan, kata Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar dalam satu wawancara.

Buat masa ini, tumpuan adalah untuk membatalkan hukuman mati yang diberikan pada bulan lalu kepada seorang lelaki yang disabitkan dengan memiliki, memproses dan mengedar minyak ganja.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, 93, berkata undang-undang yang berkaitan perlu dikaji semula di negara ini, di mana umat Islam membentuk lebih daripada separuh penduduk.

“Pandangan peribadi saya ialah jika ia mempunyai nilai perubatan, maka ia boleh menjadi barang terkawal yang boleh digunakan oleh Kementerian Kesihatan untuk tujuan preskripsi,” kata Dr Mahathir.

Kanada telah mempelopori penggunaan ganja dalam sektor perubatan, mencipta industri ganja bernilai lebih dari US $ 60bil (RM250bil) sebelum membenarkan penggunaan kanabis bulan depan. Jerman dan beberapa negara AS turut mengikut jejak langkah Kanada.

Perang dadah di Asia

Di Asia Tenggara, pengedar dadah sering dihukum mati dengan sedikit perbezaan yang dibuat antara ganja dan dadah keras seperti kokain.

Indonesia telah menghadapi kecaman global kerana menghukum mati pengedar dadah, sementara perang dadah Presiden Filipina Rodrigo Duterte telah menyebabkan sekurang-kurangnya 4,000 orang mati sejak memegang jawatan.

Namun, Malaysia tidak bersendirian dalam meneliti industri perubatan ganja.

Industri Perubatan Ganja

Pertubuhan Farmaseutikal Kerajaan Thailand, sebuah unit di bawah Kementerian Kesihatan Awam, telah berbincang dengan kerajaan tentera negara itu untuk meluluskan kajian supaya dapat memasarkan ganja untuk kegunaan perubatan.

Cabaran bagi Malaysia yang masih mengenakan hukuman mati bagi beberapa kesalahan pengedaran dadah, adalah cara untuk membuat undang-undang baru yang cukup spesifik bagi membezakan ganja untuk perubatan berbanding dengan kegunaan lain.

Kementerian Kesihatan yang bertanggungjawab memberi kata putus, kekal skeptikal mengenai nilai perubatan ganja kerana kekurangan bukti, kata Dr Xavier.

Beliau perlu melobi lebih banyak sokongan dalam kalangan menteri, pertimbangkan pendapat orang ramai mengenai perkara itu dan mengadakan perbincangan rasmi dengan kementerian yang mengawasi kesihatan, alam sekitar dan perdagangan.

“Ia sudah dilakukan di negara-negara tertentu. Jika ganja akan digunakan untuk tujuan perubatan, ia boleh digunakan untuk perubatan, bukan untuk keperluan sosial. Untuk tujuan perubatan, ia harus dibenarkan.” – Bloomberg

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker