Sukan

FAM Pecat Jurulatih Kebangsaan Bawah-16 Teong Kim

Jurulatih kebangsaan Bawah-16, Lim Teong Kim telah dipecat oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selepas pasukannya itu gagal untuk menempah tiket ke Piala Dunia Bawah-17, tahun hadapan di Peru.

FAM mengumumkan pemecatan Teong Kim itu selepas Malaysia tewas 2-0 kepada Jepun di Bukit Jalil semalam dan mereka tersingkir dari peringkat kumpulan di dalam Kejuaraan Bawah-16 AFC.

Setiausaha agung FAM, Stuart Ramalingam berkata arahan menamatkan perkhidmatan Teong Kim datang daripada presiden Datuk Hamidin Mohd Amin.

“Kita membincangkan perkara ini, selepas pasukan kebangsaan gagal untuk melepasi peringkat kumpulan di pertandingan Kejuaraan AFC.

“Datuk Hamidin telah mengarahkan naib presiden, Datuk Seri Subahan Kamal untuk menghubungi Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan┬áBola Sepak┬áBelia FAM bagi mengadakan satu mesyuarat bersama dengan pengarah teknikal FAM Peter de Roo secepat yang mungkin.

“Ini adalah bagi mengenal pasti ketua jurulatih yang baharu untuk skuad Bawah-16. Cadangan mereka kemudiannya akan dibincangkan di mesyuarat ahli jawatankuasa eksekutif FAM,” ujar Stuart di dalam satu kenyataan.

Walau bagaimanapun, FAM tidak akan mengusik jawatan Teong Kim sebagai pengarah kepada Program Pembangunan Bola Sepak Negara, dan berkata itu bergantung kepada Kementerian Sukan. Teong Kim juga adalah seorang bekas jurulatih pembangunan di Bayern Munich.

“Kuasa FAM adalah terhad berkenaan pemilihan ketua jurulatih dan pembantunya. Teong Kim masih di dalam kontrak bersama majikannya (Kementerian Sukan).

“Kami serahkan kepada Kementerian Sukan bagi memutuskan masa depan Teong Kim,” tambah Stuart.

Pasukan kebangsaan Bawah-16 memulakan saingan Kejuaraan AFC dengan cemerlang apabila membelasah Tajikistan 6-2 di dalam perlawanan pembukaan Kumpulan A. Walau bagaimanapun, mereka tewas 4-2 kepada Thailand dan 2-0 kepada Jepun di dalam saingan terakhir peringkat kumpulan.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker