Isu SemasaPolitikTempatan

Mengapa UMNO Boikot PRK Port Dickson?

UMNO telah memutuskan untuk memboikot Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson yang akan berlangsung pada 13 Oktober ini.

Sementara itu, parti-parti komponen lain Barisan Nasional (BN) iaitu MIC dan MCA juga sebulat suara bersetuju dan mengikuti jejak langkah UMNO untuk tidak bertanding.

Justeru itu, situasi ini sekali gus memberi peluang kepada Parti Islam Se-Malaysia (PAS) untuk meletakkan calonnya supaya calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak memperoleh “kemenangan percuma”.

Tetapi, mengapa UMNO enggan bertanding dalam PRK ini? Persoalan ini telah menimbulkan pelbagai bentuk spekulasi, dan salah satunya mendakwa bahawa “parti keramat” itu takut kalah dan menyedari bahawa mereka tidak akan dapat menewaskan Anwar.

Walau bagaimanapun, Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah menjelaskan bahawa “takut kalah” bukan sebab mengapa partinya itu memboikot PRK Port Dickson.

Namun, langkah ini diambil kerana menganggap pilihan raya tersebut diadakan semata-mata untuk menjayakan matlamat seseorang pemimpin, dan buat masa ini, UMNO juga sedang menumpukan usaha untuk memulih dan mengukuhkan parti.

Bukan itu sahaja, malah menurut Dr. Shamsul, PRK ini juga hanya membazirkan wang rakyat dan tenaga.

“Tidak timbul keputusan tak letak calon di Port Dickson bermakna Umno takut kalah, kalau takut kalah kita tak akan bertanding di PRK Sungai Kandis dan Seri Setia.

“Tapi dalam keadaan sekarang tumpuan mesti dibuat untuk usaha memulihkan dan mengukuhkan Umno.

“Kita  boikot kerana PRK ini dibuat untuk menjayakan matlamat seorang pemimpin membazirkan wang rakyat, membazirkan tenaga..malah kerajaan boleh menggunakan wang berkenaan untuk menyelesaikan banyak masalah rakyat,” katanya dalam sesi wawancara bersama Sinar Harian, pada Rabu.

Ujar beliau, istilah ‘boikot’ ini juga digunakan dengan harapan ahli-ahli UMNO di Port Dickson tidak akan keluar mengundi pada 13 Oktober nanti.

Sementara itu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan pada Rabu, menyatakan bahawa parti itu akan menampilkan calon yang berkaliber seperti Anwar.

Namun, identiti dan maklumat lanjut mengenai calon itu masih belum didedahkan, pengumuman berhubung perkara tersebut dijangka akan dilakukan pada Khamis malam (27 September).

“Calon ini adalah seseorang yang mempunyai kaliber yang sama seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kita melakukannya (bertanding) untuk terus menghidupkan demokrasi,” katanya.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker