MalaysiaPolitik

Apakah Kepentingan Kabinet Bayangan BN?

Barisan Nasional telah membentuk kabinet bayangan yang merangkumi semua kementerian, sebagai sebahagian daripada proses semak dan imbang terhadap kerajaan Pakatan Harapan.

Setiausaha Agung Umno Tan Sri Annuar Musa berkata kabinet bayangan yang terdiri daripada Jawatankuasa Portfolio (JKP), akan dipengerusikan bersama oleh dua ahli Parlimen Barisan Nasional atau individu yang berkelayakan tinggi dengan kelayakan yang betul.

JKP terbabit kemudian akan melantik sekurang-kurangnya tiga orang lagi dalam kalangan profesional termasuk wanita dan pemuda untuk menganggotai jawatankuasa berkenaan.

“Ia akan berfungsi sebagai pemerhati dasar dan mengemukakan dasar alternatif terhadap dasar-dasar kerajaan Pakatan,” katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat Umno.

Beliau berkata parti komponen Barisan termasuk MCA, MIC dan PBRS juga akan menjadi sebahagian daripada kabinet bayangan.

Jawatankuasa-jawatankuasa ini juga akan terlibat dalam bajet bayangan Barisan, yang akan diterajui oleh Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin.

Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan bertanggungjawab terhadap portfolio bayangan Jabatan Perdana Menteri, naib presiden Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub dan Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah (Kementerian Dalam Negeri) dan Ahli Parlimen Sembrong Datuk Seri Hishammuddin Hussein Kementerian Pertahanan).

Sementara itu, satu-satunya Ahli Parlimen MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong  akan memegang portfolio Kementerian Pengangkutan, Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk Sivarraajh Chandran (Kementerian Industri Utama) dan Ahli Parlimen Pensiangan dari MIC, Arthur Joseph Kurup (Kementerian Pembangunan Luar Bandar).

Pada bulan Ogos lalu, ketua pembangkang Datuk Seri Dr Ahmad Zahid menyatakan blok pembangkang tidak memerlukan Kabinet bayangan. Namun, keputusan itu nampaknya telah berubah dengan pengumuman yang dilakukan oleh Annuar Musa.

Apakah Kepentingan Kabinet Bayangan?

Kabinet bayangan kebiasaannya ditubuhkan selepas PRU selesai dilaksanakan. Tujuannya adalah untuk memastikan kabinet bayangan ini menjadi “daya” tekan kepada kerajaan yang sedia ada di Parlimen.

Kabinet bayangan yang dibentuk oleh parti pembangkang mempunyai tempoh sekurang-kurangnya 4 tahun untuk membuktikan potensi mereka. Tempoh tersebut perlu digunakan oleh menteri bayangan untuk membuktikan mereka mampu membuat sesuatu yang lebih baik daripada menteri kabinet kerajaan.

Rakyat juga dapat menilai secara dekat akan kebolehan parti pembangkang sepanjang tempoh tersebut.

Wakil rakyat pembangkang yang dilantik menjadi menteri bayangan perlu bersaing dengan menteri kabinet kerajaan dari segi perbahasan dasar dan tanggungjawab kementerian di parlimen.

Wakil rakyat pembangkang juga akan didedahkan dengan satu disiplin dan prinsip tanggungjawab bersama seperti menteri kabinet. Malah, mereka akan didedahkan dengan kerja kementerian yang dipertanggungjawabkan.

Dengan wujudnya kabinet bayangan ini, BN mempunyai peluang untuk mempelajari bagaimana untuk menjadi pembangkang yang efektif sekaligus menggunakan kabinet ini sebagai platform yang sesuai untuk meraih semula kepercayaan rakyat Malaysia.

Show More

Related Articles

Back to top button