Gaya HidupKesihatan

Apa Nak Buat Jika Anak Comel Anda Terlebih Isi?

Jika lihat budak kecil yang bulat pasti kita akan suka dan rasa dia comel sangat. Kebanyakan daripada orang di Asia juga akan mengaitkan kanak-kanak berisi ini dengan kemakmuran.

Namun berat badan kanak-kanak ini sama ada berlebihan atau tidak sememangnya tidak dapat dikira melalui pandangan mata kasar sahaja.

Ia harus dikira melalui ‘body mass index’ (BMI) atau indeks jisim badan. Perkiraan ini melibatkan berat badan serta ketinggian untuk menilai sama berat badan seseorang itu normal, terlebih berat ataupun ‘obese‘ (sangat berat & dalam keadaan bahaya).

Walau bagaimanapun, ibubapa jangan terlebih risau jika doktor berkata anak anda terlebih berat badan mahupun obese. Yang pastinya anda harus bantu mereka dengan bertindak segera untuk mengurangkan berat badan mereka.

Cara-caranya ialah dengan…

  1. Menjadi suri teladan (role model)

Semuanya haruslah bermula dengan ibubapa sendiri. Ini kerana kanak-kanak akan melihat tingkahlaku anda dan orang sekeliling.

Oleh itu anda harus berhati-hati dengan pengambilan makanan dan aktiviti harian anda serta barang dapur yang dibeli, kerana segalanya akan mempengaruhi anak anda.

2. Libatkan seluruh anggota keluarga

Libatkan semua ahli dalam rumah untuk makan makanan sihat. Ini adalah sebagai tanda sokongan dan bagi memotivasikan anak anda untuk makan makanan sihat dan tidak terasa tersisih.

Pastikan juga tiada televisyen atau gajet semasa makan supaya semua orang dapat fokus untuk makan perlahan-lahan.

3. Makan makanan seimbang, sederhana dan bervariasi berdasarkan piramid makanan Malaysia

Makanan sihat terdiri daripada makanan seimbang yang disajikan dengan kuantiti yang sederhana dengan pelbagai variasi supaya setiap ahli keluarga mendapat nutrisi yang diinginkan badan. 

Ikuti konsep makanan sihat Malaysia dengan 1/2 daripada pinggan dipenuhi oleh buah-buahan dan sayur, 1/4 produk bijirin (disarankan bijirin penuh), 1/4 pinggan terdiri daripada ikan, daging lembu atau ayam.

Pastikan mereka juga minum dua gelas susu setiap hari.

Jika mereka merengek kelaparan, cuba suruh mereka untuk habiskan sayuran dan buah-buahan.

4. Bincangkan dengan mereka tentang makanan sihat

Biasakan bercerita dengan anak anda tentang kelebihan dan kepentingan makanan sihat untuk tubuh badan serta kenapa perlunya bersenam dan tidur awal.

Beritahu mereka perkara-perkara ini dapat membuat mereka lebih kuat dan tidak mudah jatuh sakit.

5. Makan makanan rumah

Ini bagi mengawal kandungan di dalam makanan anak anda makan dan untuk menghasilkan makanan yang sihat, pilihlah cara masakan stim berbanding goreng.

6. Sediakan snek sihat untuk mereka

Sediakan buah-buahan yang boleh dimakan segera seperti buah epal, pisang, tomato ceri, lobak merah kecil.

7. Jangan “rasuah” atau hukum mereka dengan makanan

Jangan tawarkan mereka dengan makanan manis seperti aiskrim apabila mereka selesai membersihkan rumah atau jangan hukum mereka dengan tidak memberi makanan. Ini kerana ia boleh menyebabkan hubungan tidak baik dengan makanan.

8. Jangan tinggalkan sarapan

Sarapan yang sihat sangat penting untuk memulakan hari anak anda. Ini kerana setelah tidur yang panjang, mereka memerlukan tenaga untuk memulakan hari.

Jika mereka tidak makan sarapan pagi, ia juga boleh menyebabkan mereka terlebih makan di lain waktu pada hari tersebut.

9. Pastikan mereka cukup tidur

Kajian telah menunjukkan bahawa apabila seseorang itu kekurangan tidur, berat badan mereka akan meningkat. Kekurangan tidur juga akan menyebabkan mood dan tingkah laku mereka tida baik.

Walau bagaimanapun, perlu juga diingatkan bahawa terlebih tidur juga tidak baik.

10. Bersenam atau melakukan aktiviti fizikal

Anak anda memerlukan 40-60 minit untuk melakukan aktiviti berfizikal. Ia tidak semestinya secara berturut-turut tetapi itulah masa yang disarankan setiap hari.

Anda boleh membuat aktiviti seperti bermain bola, kejar-kejar, berbasikal dan sebagainya.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker