AntarabangsaIsu Semasa

Amazon Akan Labur 14 Trilion Rupiah Di Indonesia

Syarikat perniagaan terkemuka Amerika Syarikat (AS), Amazon merancang untuk membuat pelaburan besar-besaran bernilai 14 trilion rupiah (RM3.9 bilion) di Indonesia.

Ini merupakan langkah terbesar kedua yang diambil oleh Amazon di Asia Tenggara selepas ia mengembangkan perniagaannya ke Singapura pada tahun lepas.

Memetik laporan Straits Times, hasrat gergasi teknologi itu untuk melabur di negara tersebut telah dimaklumkan kepada Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) oleh naib-presiden Amazon, Werner Vogels dalam sebuah mesyuarat di Jakarta pada Jumaat lepas, 22 September 2018.

Difahamkan, Menteri Kewangan, Sri Mulyani Indrawati yang turut hadir ketika mesyuarat berkenaan menyatakan bahawa pelaburan ini akan berlangsung selama tempoh 10 tahun, dan unit pengkomputeran awan (cloud computing) syarikat itu, Amazon Web Services, akan diperkenalkan ke dalam pasaran Indonesia.

Pengkomputeran awan adalah menyimpan data/aplikasi secara atas talian dengan menggunakan internet, selain daripada menyimpannya di dalam komputer.

Menurut sebuah firma penyelidikan pasaran, Statista, perbelanjaan pengkomputeran awan di Indonesia dijangka akan mencecah AS$1.3 bilion (RM5.3 bilion) pada tahun ini, daripada AS$160 (RM662.3) juta pada tahun 2012.

Walau bagaimanapun, Amazon juga akan berdepan cabaran hebat daripada pesaingnya dari China, iaitu syarikat Alibaba, milik ahli perniagaan terkemuka Jack Ma, yang telah membuka pusat datanya tersendiri di negara Asia Tenggara tersebut pada awal tahun ini.

Pembukaan pusat data itu merupakan sebahagian daripada rancangan Alibaba untuk membantu syarikat-syarikat start-up tempatan di sana.

Bukan itu sahaja, malah Alibaba juga telah melabur AS$1.1 bilion (RM4.5 bilion) di dalam “unicorn” e-dagang Tokopedia, selain daripada turut memiliki Lazada, platform perniagaan atas talian (online) yang popular di Asia Tenggara.

Unicorn merujuk kepada syarikat start-up yang bernilai lebih daripada AS$1 bilion (RM4.1 bilion).

Dalam pada itu, digital ekonomi di rantau ini diramalkan bernilai lebih daripada AS$200 bilion menjelang tahun 2025, di mana Indonesia, sebagai ekonomi terbesar Asia Tenggara, akan membentuk bahagian besar di dalam pasaran berkenaan.

 

 

 

 

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker