Isu SemasaTempatan

Penculik Nelayan Tuntut Wang Tebusan Bernilai RM4 Juta

Sebuah kumpulan penculik yang dipercayai dalang disebalik penculikan dua orang nelayan warga Indonesia bernama Samsul Sagunim, 40, dan Usman Yunus, 35, di Sabah baru-baru ini telah menuntut wang tebusan bernilai RM4 juta.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata, ahli keluarga kedua-dua mangsa telah menerima panggilan telefon daripada penculik pada jam 10:24 pagi 18 September lalu, iaitu tempoh seminggu selepas mereka diculik.

Pada 11 September lalu,  mangsa telah diculik ketika sedang menangkap ikan oleh dua lelaki bersenjata di perairan Pulau Bodgaya di Semporna.

Kedua-dua mangsa kemudian dipercayai dibawa lari oleh suspek ke selatan Filipina dengan menaiki bot pam.

“Isteri salah seorang mangsa yang berada di Pulau Sulawesi (Indonesia), telah menerima panggilan itu dari Filipina,” kata Omar dalam sebuah sidang media di Ibu pejabat Polis Kontingen (IPK) Sabah, pada Selasa.

Walau bagaimanapun, beliau menyatakan bahawa suspek tidak membuat sebarang ugutan mahupun memberi tempoh khusus (deadline) berhubung tuntutan wang tebusan itu.

“Kita sedang meningkatkan keselamatan dari utara Kudat sehingga selatan Tawau. Setakat ini, suspek-suspek tidak mengeluarkan sebarang ugutan,” jelasnya.

Sementara itu, pihak polis Sabah juga sedang mengkaji kemungkinan untuk menamatkan larangan penggunaan bot pam seperti yang dicadangkan oleh kerajaan negeri pimpinan Parti Warisan Sabah (Warisan).

Beberapa bulan lalu, kerajaan Sabah telah mengumumkan bahawa ia mungkin akan memansuhkan larangan berkenaan dalam usaha membantu golongan nelayan miskin.

Bot pam merupakan bot kecil yang menggunakan enjin motosikal/kenderaan yang diubahsuai atau diguna semula dengan harga yang lebih murah berbanding enjin bot yang sebenar.

Difahamkan, bot ini amat ‘popular’ di kawasan perairan di antara Sabah dan selatan filipina, di mana ia selalunya digunakan oleh nelayan kecil dan juga “individu-individu yang mencurigakan”.

Memetik laporan The Star, penggunaan bot pamt elah dilarang sejak beberapa tahun dahulu berikutan pelbagai kes jenayah rentas sempadan, khususnya penculikan, di kawasan pantai timur Sabah.

Sempadan maritim dengan Filipina juga amat dekat dan mengambil masa satu jam sahaja untuk sampai ke sana dengan menaiki bot dari Sabah.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker