AntarabangsaIsu Semasa

Hubungan China-Pakistan Tidak Akan Dapat Dirosakkan

Baru-baru ini, Menteri Luar China, Wang Yi menegaskan bahawa sebarang usaha atau cubaan untuk merosakkan hubungan akrab di antara negara itu dan Pakistan tidak akan berjaya.

China telah berikrar untuk membelanjakan AS$57 bilion (RM235.9 bilion) bagi membina stesen janakuasa, lebuh raya besar, landasan kereta api baru, dan pelabuhan-pelabuhan kapal berkapasiti besar di sepanjang Koridor Ekonomi China-Pakistan.

Difahamkan, langkah itu merupakan salah satu bahagian utama dalam inisiatif “Belt and Road” yang diperkenalkan oleh Presiden Xi Jinping.

Namun sejak kebelakangan ini juga, projek-projek anjuran China telah diperiksa dengan ketat oleh pihak-pihak yang berkenaan, berikutan amaran Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Mike Pompeo pada bulan Julai lalu bahawa sebarang bentuk bantuan kewangan yang mungkin akan diberi kepada Pakistan oleh International Monetary Fund (IMF) tidak boleh digunakan oleh Islamabad untuk membayar hutangnya kepada China.

Tetapi, China dan Pakistan sebulat suara menyatakan bahawa pinjaman yang diberi oleh Beijing adalah mampan.

Wang berkata, Islamabad dan Beijing akan terus memberikan komitmen penuh untuk mempromosikan koridor ekonomi itu, meleuaskan perdagangan, serta mengurangkan kemiskinan demi memberi lebih banyak manfaat kepada rakyat Pakistan.

“Sebarang konspirasi untuk mencetuskan ketidaharmonian atau campur tangan dalam hubungan China-Pakistan tidak akan berjaya,” tegas Wang.

Sementara itu, Menteri Luar Pakistan, Mehmood Qureshi yang turut menyokong kenyataan rakan sejawatannya itu, menekankan bahawa hubungan China-Pakistan tidak akan berubah, walaupun keadaan sentiasa berubah dari semasa ke semasa.

Tambahnya lagi, koridor ekonomi tersebut juga “amat penting” untuk Pakistan dan ia telah memberi impak yang mendalam terhadap pekerjaan, pembangunan, dan kehidupan seharian rakyat di negara itu.

Qureshi berkata, kerajaan Pakistan akan terus mengambil langkah-langkah yang sewajarnya demi memastikan keselamatan di sepanjang koridor tersebut.

Dalam pada itu, China telah menerima kritikan hebat oleh masyarakat antarabangsa termasuk kumpulan hak asasi manusia, beberapa negara Barat, serta pakar hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kerana melaksanakan penahanan besar-besaran ke atas hampir sejuta warga Muslim di wilayah Xinjiang.

Semua tahanan ditempatkan di ‘kem pendidikan semula’ yang bertujuan untuk mengubah pemikiran politik, menghapuskan kepercayaan mereka terhadap agama Islam, dan membentuk semula identiti mereka.

Menurut pihak berkuasa China, kem tersebut diwujudkan kononnya untuk “mengekang gerakan pemisah”.

Namun begitu, kerajaan Pakistan, sama seperti kerajaan-kerajaan negara Islam lain, kekal tidak bersuara berhubung isu tersebut.

Tetapi, terdapat juga sesetengah kumpulan ahli perniagaan warga Pakistan yang mempunyai isteri serta anak-anak warga China yang ditahan di Xinjiang.

Justeru itu, mereka menggesa kerajaan baru Pakistan pimpinan Perdana Menteri Imran Khan untuk memberi tekanan yang sewajarnya ke atas Beijing agar membebaskan tahanan-tahanan Muslim di sana.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker