Isu SemasaMalaysiaTempatan

“Gaji Kalau RM2000, Bayar RM100 Pun Sudah Mencukupi” – Tun M

Minggu lepas, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad meluahkan kekecewaannya terhadap sikap tidak amanah peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang enggan membuat pembayaran semula sehingga menyebabkan jumlah hutang tertunggak menjangkau RM36 bilion.

Beliau berkata, kebanyakan peminjam PTPTN sudah mempunyai pekerjaan dan mampu membayar hutang pinjaman mereka, tetapi enggan berbuat demikian.

“Saya malu, tetapi mereka (peminjam) tidak. Mereka sudah mempunyai pendapatan, dan mereka mampu bayar, tetapi mereka tidak rasa mahu bayar.

“Kadang-kadang, kita dapati rakyat Malaysia tidak begitu amanah, sebagai contoh kita bagi biasiswa atau pinjaman untuk mereka belajar di dalam dan luar negara tapi malangnya mereka tidak mahu bayar pinjaman balik,” katanya ketika menyampaikan syarahan perdana di Residensi Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada Khamis lepas.

Tambah beliau lagi, peminjam yang meraih pendapatan bulanan sebanyak RM2,000 sudah boleh membuat pembayaran semula RM100 sebulan.

Walau bagaimanapun, kenyataan Dr. Mahathir telah mengundang kritikan pelbagai pihak, termasuk kerajaan dan pembangkang, memandangkan inisiatif “membayar semula hutang PTPTN apabila gaji sudah mencecah RM4,000” merupakan salah satu janji utama yang terkandung di dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Menurut Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin, Dr. Mahathir tidak patut berasa malu kerana PH yang menggalakkan peminjam agar menangguhkan pembayaran semula hutang PTPTN mereka.

“Jangan malu, tuan. Siapa yang keluarkan mereka daripada senarai hitam? Siapa yang janji mereka hanya perlu bayar selepas gaji mencapai RM4,000 sebulan?

“Apa pula cadangan @chedetofficial (Perdana Menteri) untuk meningkatkan pembayaran balik hutang PTPTN?” soal Khairy menerusi akaun Twitternya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi turut menyatakan bahawa beliau mempunyai pandangan yang berbeza berhubung kenyataan Perdana Menteri Malaysia ke-7 itu.

Beliau berkata, kerajaan baru ini tidak boleh menghukum peminjam yang tidak membayar PTPTN “secara pukul rata”, kerana tidak semua peminjam yang tergolong dalam kumpulan “tidak tahu malu atau tidak amanah.”

“Saya hormat Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri dan faham bebanan ekonomi negara tapi dalam hal ini saya ingin nyatakan pandangan berbeza.

“Kerajaan kena faham bukan semua seperti dinyatakan, ada antara peminjam belum ada pekerjaan, yang bekerja pula, gaji permulaan amat rendah,” katanya.
Sehubungan dengan itu, Nik Nazmi, yang juga Ketua Pemuda PH menyatakan bahawa kerajaan perlu mengakui masih terdapat golongan miskin bandar dan miskin tegar, di mana mereka mengalami kesukaran untuk membayar semula hutang PTPTN kerana terpaksa menyara keluarga dan menanggung pelbagai bentuk beban lain.

“Kita baru perintah beberapa bulan, misi kita untuk perbaiki ekonomi negara. Sehingga kita menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan, gaji permulaan yang baik dan memahami masalah sebenar peminjam, tidak wajar kita melabel kelompok peminjam sebagai tidak amanah.

“Sebab itu dalam Buku Harapan kita fokus cipta kerja dengan gaji  tinggi, peningkatan gaji minimun dalam tempoh lima tahun dan penangguhan pembayaran PTPTN sehingga gaji RM4,000. Model sama digunakan di luar negara seperti Australia dan Britain,” ujar beliau.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker