MalaysiaPolitik

BN Sah Boikot, Tidak Bertanding di Port Dickson

Barisan Nasional (BN) tidak akan bertanding dalam pilihan raya kecil Port Dickson yang akan datang, umum presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga pengerusi BN.

Bercakap pada sidang akhbar di ibu pejabat Umno, Ahmad Zahid berkata keputusan untuk tidak meletakkan calon dibuat selepas perbincangan diadakan dengan parti komponen BN.

BN juga akan memboikot PRK itu, yang diadakan selepas Ahli Parlimen dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) meletak jawatan untuk membenarkan Anwar Ibrahim bertanding di kerusi itu.

“Pilihan raya itu adalah untuk memenuhi agenda seorang individu. Kerusi itu menjadi kosong bukan disebabkan oleh sebab-sebab semula jadi seperti kematian wakil rakyat. Ia bertentangan dengan prinsip demokrasi dan BN memboikotnya,” katanya.

Menurut The Sun Daily, Ahmad Zahid juga mempersoalkan PRK itu yang akan menelan kos sebanyak RM3.6 juta untuk dijalankan.

“Kami sedar kerajaan juga menghadapi masalah kewangan, jadi kami berharap wang yang diperuntukkan untuk pilihan raya kecil itu boleh digunakan untuk perbelanjaan lain yang boleh memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.

Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Danyal Balagopal Abdullah mengosongkan kerusi itu pada 12 September lalu untuk membuka jalan bagi presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk kembali ke Parlimen.

Danyal memenangi kerusi itu pada pilihan raya umum lalu dengan majoriti 17,710 undi, menewaskan calon Barisan Nasional Datuk V. S. Mogan dan Mahfuz Roslan, dari calon PAS.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan 13 Oktober depan untuk pilihan raya kecil Port Dickson, dengan penamaan calon yang akan diadakan pada 29 September.

Terdahulu, timbalan presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan mencadangkan agar parti itu mengelak bertanding di pilihan raya kecil Port Dickson.

Beliau berkata Umno tidak sepatutnya mengambil bahagian dalam pilihan raya kecil itu sebagai tanda protes, kerana ia diadakan semata-mata untuk memenuhi cita-cita politik individu tertentu.

Pada hari Ahad, pengerusi majlis penasihat Umno, Tengku Razaleigh Hamzah berkata Umno sepatutnya keluar dari pilihan raya kecil Port Dickson kerana parti itu belum pulih daripada persepsi negatif yang berlaku sejak Pilihan Raya Umum ke-14.

Sementara itu, Pas juga menyatakan bahawa ia mungkin tidak bertanding dalam pilihan raya kecil di Negeri Sembilan itu.

Walau bagaimanapun, PRK itu dijangka akan diteruskan walaupun Umno dan PAS tidak terlibat. Ini kerana Parti Rakyat Malaysia, sebuah parti tanpa sebarang kerusi di Parlimen atau di mana-mana 13 dewan undangan negeri, akan meletakkan calon. Calon bebas Stevie Chan Keng Leong juga mengumumkan bahawa beliau akan bertanding di kerusi  itu.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button