Isu SemasaPolitikTempatan

PAS Sedia Pastikan Anwar Tidak Peroleh “Kemenangan Percuma”

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menzahirkan kesediaan untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak, termasuk UMNO dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson agar calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak memperoleh “kemenangan percuma”.

Menurut Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dr. Ahmad Shamsuri Mokhtar, partinya juga bersedia untuk menampilkan calon agar laluan mudah tidak diberikan kepada Anwar, tetapi juga akan menunggu keputusan UMNO sama ada akan meletakkan calon mereka atau tidak.

“Saya percaya bahawa akan ada usaha untuk mengelak pertandingan pelbagai penjuru pada PRK Port Dickson.¬†Apa-apa pun, sebelum hari penamaan calon, kita (pembangkang) masih boleh berbincang. Saya percaya bahawa kita boleh menyelesaikannya dengan baik.

“PAS bersedia untuk bekerjasama tanpa mengira sesiapa pun yang bakal menjadi calon, (sama ada) UMNO patau PAS atau pihak ketiga yang akan meletakkan calon.

“Pembangkang wajar diberikan ruang untuk bekerjasama,” katanya selepas majlis pelepasan Misi Kemanusiaan Lombok 2.0 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Ahad.

Memetik laporan The Sun Daily, beliau berkata demikian ketika diminta untuk mengulas jika PAS akan memberikan kerjasama sekiranya UMNO memutuskan untuk meletakkan calon pada PRK Port Dickson.

Difahamkan, kerusi Parlimen Port Dickson telah dilepaskan oleh penyandangnya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah bagi memberi laluan kepada Anwar untuk bertanding dan kembali semula ke Dewan Rakyat.

Berikut adalah tarikh-tarikh penting PRK Port Dickson yang telah ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR):

1. Hari Penamaan Calon – 29 September 2018

2. Hari Mengundi Awal – 9 Oktober 2018

3. Hari Mengundi (Pilihan Raya) – 13 Oktober 2018

Dalam pada itu, Dr. Ahmad Shamsuri yang juga Menteri Besar Terengganu, turut menyifatkan PRK Port Dickson ini sebagai satu pembaziran dan hanya memainkan perasan pengundi kawasan berkenaan.

Tambah beliau, PRK ini juga diadakan bagi memenuhi aspirasi seseorang individu untuk menjadi perdana menteri.

“Ini adalah sebuah pilihan raya secara paksa,” tegas beliau.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker