AntarabangsaIsu Semasa

Korea Utara Sedia Terima Pelaburan Dari Selatan

Hubungan di antara Korea Utara dan Korea Selatan dilihat semakin bertambah baik sejak kebelakangan ini berikutan beberapa pertemuan di antara pemimpin kedua-dua negara itu. Selain daripada matlamat untuk menamatkan Perang Korea secara rasmi, Pyongyang telah memberi isyarat bahawa ia bersedia menerima pelaburan daripada syarikat-syarikat perniagaan Seoul dalam usaha memodenkan negaranya yang terpencil itu.

Menurut Sohn Kyung-shik,  pengerusi bersama CJ Group, sebuah syarikat perniagaan makanan terkemuka di Korea Selatan, Korea Utara juga mahu mewujudkan kerjasama ekonomi dan mendapatkan bantuan teknikal dari Seoul.

“Apa yang mereka (Korea Utara) mahukan adalah pelaburan untuk membina industri di sana,” kata Sohn.

Memetik laporan Bloomberg, hasrat Korea Utara itu juga mencerminkan keyakinan yang semakin meningkat di antara pemimpinnya, Kim Jong-un dan Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in.

Walau bagaimanapun, masih banyak lagi halangan yang kekal memandangkan kedua-dua negara itu, secara teknikal, masih dalam keadaan berperang memandangkan Perang Korea yang tamat pada tahun 1953 dahulu hanya berakhir menerusi gencatan senjata, tanpa sebarang bentuk perjanjian damai rasmi.

Difahamkan, Sohn dan beberapa orang lagi delegasi perniagaan Korea Selatan, termasuk naib pengerusi Samsung Group, Lee Jae-yong dan pengerusi LG Group, Koo Kwang-mo telah mengikut Moon dalam lawatan beliau ke Korea Utara pada minggu lepas.

Mereka juga sempat bertemu dengan naib pemimpin Pyongyang, Ri Ryong Nam yang menguruskan hal ehwal ekonomi negara itu.

Dalam pada itu, Lee yang mewakili syarikat gergasi telefon pintar Seoul itu berharap agar pertemuan tersebut akan menjadi satu peluang untuk membina kepercayaan di antara kedua-dua pihak.

“Mereka benar-benar mahu mengadakan kerjasama ekonomi bersama Korea Selatan…Namun kita masih belum membuat sebarang komitmen besar setakat ini,” kata Sohn lagi.

Bagi syarikatnya pula, Sohn menyatakan bahawa beliau melihat peluang yang luas untuk diterokai di dalam industri makanan dan logistik Korea Utara.

 

 

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker