Sukan

Jerman Ikut Jejak Langkah Perancis

Perancis memenangi Piala Dunia 2018 dengan memperbaharui skuad mereka, dan bekas juara Jerman harus melakukan perkara yang sama, ujar jurulatih kedua-dua pasukan kebangsaan itu pada hari Ahad.

Didier Deschamps dan Joachim Low bercakap di persidangan Piala Dunia FIFA di London, yang turut dihadiri oleh wakil daripada hampir 200 ahli persatuan itu.

Deschamps, yang menjadi seorang daripada tiga yang pernah memenangi pertandingan itu sebagai pemain dan jurulatih, berkata ia adalah perlu untuk memperbaharui pasukan Perancis yang tewas di peringkat akhir pertandingan UEFA Euro 2016 di laman mereka sendiri kepada Portugal.

“Dalam dua tahun banyak perkara boleh berubah,” ujar beliau.

“Di dalam dunia bola sepak, dua tahun adalah satu tempoh yang panjang.

“Anda perlu memikirkan semula dan memperbaharui. Adalah penting untuk mempunyai pemain yang berpengalaman, tetapi sukar untuk mencari keseimbangan di antara pengalaman dan pemain muda.

“14 daripada 23 pemain kami tidak pernah bermain di pertandingan Euro atau Piala Dunia. Tetapi 8 daripada 11 yang bermain di peringkat akhir (Piala Dunia 2018) ada pengalaman itu.”

Tanggapan keseluruhannya berkenaan peringkat akhir Piala Dunia 2018 adalah “semua pasukan telah mengambil langkah persediaan yang secukupnya dari segi kecergasan dan kebolehan untuk bermain di peringkat yang tinggi, itu dan juga kreativiti adalah apa yang mereka perlukan pada hari ini untuk menjadi atlet yang sebenar.”

Deschamps mempertahankan salah seorang pemain muda dalam skuadnya, Paul Pogba yang dikatakan oleh seorang delegasi persidangan itu, dilihat seperti lebih bagus ketika bermain untuk Perancis daripada bermain untuk kelabnya.

“Semua orang di dunia melihat Pogba melalui imej yang tidak mencerminkan siapa dirinya yang sebenar, seorang yang gemar bermain secara individu, seseorang yang hanya memikirkan tentang dirinya sahaja. Itu adalah tidak benar sama sekali.”

Low berkata Jerman, yang memulakan pertandingan itu sebagai juara bertahan namun menamatkan saingan di kedudukan tercorot dalam kumpulan mereka, mempunyai kumpulan pemain yang sama untuk tempoh masa yang panjang, sehingga ada yang telah mewakili negara itu di tiga Piala Dunia.

“Mungkin selepas berada di atas untuk masa yang panjang, kita sudah tidak mempunyai semangat atau kerakusan untuk memenanginya lagi,” ujar Low.

“Jadi sekarang kami perlu memikirkan bagaimana kami boleh menerapkan beberapa orang pemain muda dalam tempoh dua hingga empat tahun lagi, untuk memperbaharui pasukan dan menetapkan sasaran baharu untuk apa yang kami mahu lakukan.”

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker