Isu SemasaTempatan

“Saya Yang Menjalankan Amanah” Frasa Penutup Baru Surat Rasmi Kerajaan

“Saya yang menurut perintah” merupakan frasa yang digunakan di sudut sebelah kiri bahagian bawah dalam setiap surat rasmi yang dikeluarkan oleh kerajaan.

Menurut  Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Datuk Borhan Dolah, Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 5 Tahun 2007: Panduan Pengurusan Pejabat, Bahagian VI, perenggan 6.4(g) sebelum ini menetapkan bahawa setiap surat perlu diakhiri dengan frasa “saya yang menurut perintah”.

Walau bagaimanapun, frasa tersebut kini digantikan dengan ‘saya yang menjalankan amanah’, yang telah mula berkuatkuasa pada Khamis, 20 September 2018.

Borhan berkata, perubahan ini selaras dengan hasrat kerajaan supaya semua penjawat awam benar-benar menghayati bahawa setiap perintah, tugasan, dan tanggungjawab adalah amanah yang perlu dilaksanakan dengan sebaiknya.

“Dalam konteks ini, ‘amanah’ merujuk kepada kerelaan dan usaha (penjawat awam) untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan dalam batas kuasa yang ada dengan penuh gigih serta keikhlasan bagi mencapai matlamat yang ditetapkan,” katanya.

Memetik laporan New Straits Times, Borhan turut menekankan bahawa penjawat awam perlu memiliki sifat luhur dan murni, dan ikhlas terhadap diri sendiri, rakan-rakan, serta organisasi mereka.

Tegas beliau lagi, sifat amanah merupakan nilai asas yang harus dimiliki oleh penjawat awam dalam melaksanakan segala tugasan demi memastikan kerja atau perkhidmatan yang diberi berada pada tahap yang tertinggi.

Cadangan supaya frasa tersebut ditukar telah disuarakan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada sesi Town Hall bersama pegawai tadbir dan diplomatik di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada 15 Ogos lepas.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker