AntarabangsaIsu Semasa

Tidak Cukup Dengan Perang Dagang, AS Kini Sekat Tentera China Pula

Baru-baru ini, Amerika Syarikat (AS) di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump telah mengenakan sekatan ke atas tentera China kerana membeli jet pejuang dan sistem peluru berpandu dari Rusia.

Jabatan Negara AS menyatakan bahawa langkah ini diambil ke atas China kerana telah melanggar undang-undang sekatan yang dikenakan ke atas Rusia akibat campur tangan mereka di dalam Pilihan Raya Presiden AS pada tahun 2016.

Memetik laporan Reuters, sekatan AS itu dikenakan serta merta ke atas Jabatan Pembangunan Peralatan China (EDD), iaitu cawangan tentera negara itu yang bertanggungjawab membangunkan senjata dan peralatan perang, serta pengarah EDD, Li Shangfu akibat mengadakan urusniaga bersama Rosoboronexport, pengeksport senjata utama Rusia.

Difahamkan, urus niaga tersebut berlaku pada tahun 2017 dan tahun ini, di mana China telah membeli 10 buah pesawat tempur SU-35 dan sistem pertahanan peluru berpandu canggih S-400.

Oleh yang demikian, agensi tentera China itu serta pengarahnya kini dilarang memohon lesen eksport, dan diletakkan di dalam senarai “individu/organisasi yang dilarang mengadakan urusan perniagaan bersama rakyat Amerika”, di bawah Jabatan Perbendaharaan AS yang dikenali sebagai “Countering America’s Adversaries Through Sanctions Act,” atau CAATSA.

Selain itu, pentadbiran Trump turut menyenaraihitamkan 33 lagi individu dan entiti yang mempunyai kaitan dengan tentera serta agensi perisikan Rusia di dalam CAATSA.

CAATSA juga mahu ‘menghukum’ Rusia kerana pencerobohannya di Ukraine dan penglibatannya di dalam perang saudara Syria.

Justeru itu, sesiapa yang didapati mengadakan urusan perniagaan dengan mana-mana individu/entiti yang telah disenaraihitamkan akan dikenakan sekatan yang serupa seperti yang sedang dilalui oleh China.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Baca Juga

Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker