Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dijangka akan memuat naik pengisytiharan aset barisan Jemaah Menteri (Kabinet) serta anggota-anggota parlimen Pakatan Harapan (PH) di portal rasminya mulai bulan Oktober ini.
Menurut Timbalan Pesuruhjaya SPRM (Pencegahan) Datuk Shamsun Baharin Mohd Jamil, perkara ini dilakukan demi memastikan semua pemimpin PH bebas daripada gejala rasuah.
“Ini adalah kali pertama pengisytiharan aset dimuatnaik di portal SPRM untuk tontonan umum.
“Pengisytiharan itu akan dihantar ke Pejabat Perdana Menteri (PMO) dan salinannya pula ke SPRM,” katanya ketika menjadi tetamu undangan dalam sebuah program Bernama Radio bergelar “Ala Carte Pagi” pada Khamis.
Memetik laporan The Star, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebelum ini pernah menyatakan bahawa semua anggota pentadbiran kerajaan, termasuk menteri, timbalan menteri, dan setiausaha politik mereka, wajib mengisytiharkan aset masing-masing kepada perdana menteri.
Dr. Mahathir berkata, maklumat (mengenai pengisytiharan aset) “tidak akan disembunyikan”, dan ia sebaliknya akan diserahkan kepada agensi-agensi yang bertanggungjawab dalam membendung rasuah.
Namun ujar Shamsun, SPRM masih belum menerima salinan-salinan pengisytiharan aset daripada PMO setakat ini.
Difahamkan, Ahli-ahli Parlimen PH diberi tempoh tiga bulan untuk berbuat demikian selepas selesai majlis angkat sumpah mereka pada bulan Julai lalu.
“Tempoh ini masih lagi berkuatkuasa, dan pada 1 Oktober, kita akan tahu siapa yang sudah mengisytiharkan aset mereka,” jelas Shamsun.
Sementara itu, beliau turut memperkenalkan rancangan bual bicara SPRM 360 yang akan disiarkan mulai 22 September di Bernama Radio.
“Terdapat 13 episode yang akan disiarkan pada Sabtu (22 September) mulai jam 10 pagi sehingga 12 tengah hari.
“Kita akan menampilkan pegawai kanan SPRM sebagai tetamu untuk membincangkan isu-isu berkaitan pencegahan rasuah pada setiap minggu,” katanya.
Tambah Shamsun, program SPRM 360 ini juga akan berperanan sebagai platform suruhanjaya itu dalam menyebarkan maklumat yang berkaitan pencegahan rasuah kepada orang awam.
“Walaupun sudah ada saluran My Anti-Corruption Channel (MACC.fm), aksesnya tidak luas berbanding radio biasa, jadi kerjasama dengan Bernama ini adalah untuk mencapai lebih ramai pendengar.
“Ini kerana rasuah adalah isu nasional dan kita perlu mendapatkan sokongan daripada semua pihak memandangkan komuniti ini sendiri akan terkesan sekiranya rasuah dibiarkan untuk berterusan,” tegas beliau.