BudayaGaya Hidup

7 Cara Memupuk Budaya Membaca Di Kalangan Anak Gajet

Teknologi sememangnya dapat membantu anak kecil untuk berada dalam “zon tenang” apabila ibubapa perlu melakukan perkara lain.

Namun, sudah pasti setiap ibubapa tahu tentang keburukan apabila anak kecil terlalu taksub dengan gajet seperti tab dan telefon pintar.

Jika anda masih mahu menerapkan budaya membaca kepada anak anda, mulakan di usia muda dan mulakan dengan diri anda sendiri. Ini dia perkongsian beberapa tips untuk anda dan anak anda memulakan budaya membaca.

  1. Membaca bersama setiap hari

Setiap malam sebelum tidur, pastikan anda membacakan sekurang-kurangnya satu buku bersama anak anda. Jika anda sudah terbiasa dengan rutin seperti ini, ia boleh menjadi indikasi penting untuk anak anda harus tidur.

2. Beri mereka peluang untuk memilih buku kegemaran

Anak anda pasti akan mempunyai buku kegemaran untuk dibaca. Kemungkinan buku yang sama akan mereka pilih untuk anda bacakan setiap malam tetapi bersabarlah kerana buku ini akan memberi mereka ketenangan dan menggembirakan hati mereka. Ibubapa mana yang tidak suka melihat anak mereka sendiri gembira?

Namun, untuk elak kebosanan, apabila tiba masa untuk baca buku yang ketiga, ibu atau ayahlah pilih buku yang bersesuaian. Jika tidak, buku lain tidak akan tersentuh.

3. Cari ruang yang istimewa dan sunyi

Ruang ini adalah untuk membaca tanpa gangguan. Jika tiada sofa atau kerusi hayun, bantal dan selimut pun boleh jadi. Kanak-kanak gemar apabila sesuatu tempat itu ‘istimewa’ dan lain dari yang lain. Anda boleh juga pasang lilin untuk memberi suasana tenang.

4. Meneroka buku baharu

Membeli yang baharu mungkin akan memakan duit dan ruang. Oleh itu, lebih baik pinjam dari perpustakaan terdekat. Jimat dan anda boleh dapat tukar buku setiap minggu.

5. Tidak semestinya memotong 100% waktu menggunakan gajet

Kadang kala TV dan rancangan atau permainan atas tablet juga ada kebaikan untuk anak kecil. Oleh itu janganlah terlalu rigid sehingga menyimpan semua peralatan ini. Apa yang penting ialah keseimbangan di antara dua aktiviti tersebut.

6. Cari buku yang mempunyai sensori

Sensori ini ialah buku yang boleh mereka rasai selain daripada kertas buku tersebut. Contohnya buku yang mempunyai elemen interaktif seperti buka dan tutup, kain yang berlainan jenis (berbula, kasar atau licin) ataupun ada yang membolehkan kita gores dan bau. Perkara ini pasti akan membuat kanak-kanak teruja.

7. Simpan buku di hampir setiap pelusuk

Letakkan buku di dalam kereta anda, di tempat selalu anak anda lalu-lalang. Ini akan memberi peluang kepada mereka untuk mendapatkan buku di mana sahaja mereka berada.

Terdapat pelbagai manfaat yang boleh seseorang dapat daripada membaca buku. Malah kajian saintifik menunjukkan bahawa membaca buku boleh meningkatkan fahaman mereka di sekolah. Oleh itu, marilah memupuk budaya membaca dari muda lagi!

 

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker