AntarabangsaIsu Semasa

PM Pakistan Akan Beri Kerakyatan Kepada Pelarian Afghanistan

Baru-baru ini, Perdana Menteri baru Pakistan, Imran Khan berikrar untuk menganugerahkan kerakyatan kepada pelarian-pelarian Afghanistan yang telah menetap di negara itu selama beberapa dekad.

Memetik laporan Reuters, Khan akan tetap melaksanakan hasratnya itu walaupun hubungan di antara Islamabad dan Kabul masih kekal tegang.

“Rakyat Afghan, di mana anak mereka telah dilahirkan dan dibesarkan di Pakistan, kita (kerajaan), dengan izin Tuhan akan mendapatkan pasport (kerakyatan) untuk mereka.

“Sekiranya anda dilahirkan di Amerika Syarikat (AS), anda akan mendapat pasport Amerika. Ia berlaku di semua negara di dunia, jadi kenapa tidak di sini?,” katanya.

Terdapat kira-kira 2.5 juta rakyat Afghan yang telah melarikan diri dari tanah air mereka dan menetap di Pakistan selepas ia diceroboh oleh Kesatuan Soviet pada tahun 1979.

Difahamkan, warga Afghanistan yang berada di Pakistan kerap diganggu oleh sesetengah penduduk tempatan kerana tidak memiliki hak kerakyatan walaupun sudah menetap dan bekerja di negara itu selama berdekad-dekad.

Lebih membimbangkan mereka lagi, terdapat juga dakwaan bahawa kerajaan Pakistan bercadang untuk menghantar rakyat Afghan pulang semula ke tanah air mereka selepas Islamabad melanjutkan tempoh membenarkan pelarian untuk menetap secara sementara di sempadannya kepada maksimum 60 hari sahaja.

Dalam pada itu, hubungan di antara kedua-dua negara jiran itu juga menjadi semakin keruh sejak beberapa tahun kebelakangan ini, di mana Afghanistan sering kali menuduh Pakistan melindungi anggota militan Taliban yang melancarkan serangan di sempadan.

Namun, Islamabad menafikan tuduhan itu sekeras-kerasnya sambil menyalahkan Kabul pula kerana menyediakan tempat perlindungan untuk anggota militan Taliban Pakistan yang menjadi dalang di sebalik beberapa siri serangan yang berlaku di negaranya sejak dua tahun lepas.

Kini, hasrat Khan untuk memberi kerakyatan itu turut menerima sambutan yang baik dalam kalangan kumpulan hak asasi manusia di Pakistan.

“Pakistan telah menjadi ‘tuan rumah’ kepada salah satu populasi pelarian yang terbesar di dunia dan tindakan memberi kerakyatan kepada mereka yang layak dilihat sebagai langkah yang logik dari segi undang-undang dan moral.

“Ini juga adalah langkah pertama yang penting dalam menghentikan diskriminasi yang dihadapi oleh komuniti pelarian dan pendatang,” kata Saroob Ijaz, wakil Human Rights Watch.

Selain daripada pelarian Afghan, Khan juga menyatakan bahawa pendatang-pendatang Bengali yang menetap di Pakistan tanpa mempunyai dokumen sah akan diberi pasport.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker