Isu SemasaTempatan

Malaysia Kekal Dengan Pendirian “Bebas Nuklear”

Malaysia di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) terus kekal dengan pendirian tidak akan menggunakan kuasa nuklear sebagai sumber alternatif untuk menjana tenaga elektrik.

Tegas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, penggunaan nuklear hanya akan mendatangkan mudarat dan kemusnahan alam sekitar sekiranya berlaku pencemaran radiasi.

Beliau berkata, sains juga masih belum mampu membuktikan cara yang benar-benar selamat untuk membuang sisa-sisa radioaktif yang dihasilkan.

Walau bagaimanapun, Dr. Mahathir tidak menafikan bahawa kos penggunaan tenaga nuklear adalah lebih murah berbanding bahan api biasa.

“Ramai orang mahu mula menggunakan tenaga nuklear ketika saya meletak jawatan dahulu, tetapi saya menentangnya kerana ia menghasilkan radiasi.

“Kita menghasilkan tin dan amang, iaitu bahan yang digunakan untuk menghasilkan televisyen berwarna. Kemudian, orang menjumpai cara lain untuk menghasilkan TV tanpa menggunakan amang.

“Amang perlu diaktifkan untuk digunakan, namun ia mempunyai radiasi. Apabila syarikat-syarikat tidak lagi mahu menggunakannya, kita ditinggalkan dengan sisa-sisa amang yang masih aktif,” katanya ketika¬†menyampaikan ucaptama pada Persidangan Industri Pembekalan Elektrik (CEPSI) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, pada Rabu.

Memetik laporan The Star, Dr. Mahathir menyatakan bahawa kerajaan pada waktu itu kemudian terpaksa mencari jalan demi memastikan sisa-sisa amang itu tidak mendatangkan mudarat dan bahan tersebut telah ditanam di kawasan 1 kilometer persegi di bawah simen yang tebal untuk menghalang daripada berlakunya kebocoran radiasi.

“Kita telah kehilangan sebuah tanah yang besar kerana ia tidak lagi selamat digunakan. Jadi, itu adalah ‘pengalaman’ kita dengan bahan-bahan radioaktif,” jelasnya.

Tambah beliau lagi, perkara ini juga menjadi pengajaran kepada kerajaan bahawa sisa-sisa radioaktif sukar untuk dilupuskan dan masih belum ada cara yang baik untuk menguruskannya.

Sementara itu, Dr. Mahathir turut menjadikan Jepun sebagai contoh, di mana negara itu kerap menghadapi masalah berkaitan radiasi ketika berlaku bencana alam seperti gempa bumi.

Menurut beliau, penduduk-penduduk yang menetap di kawasan-kawasan berhampiran stesen janakuasa nuklear juga tidak kembali semula ke tempat kediaman mereka disebabkan radiasi.

“Sebab itulah kita (kerajaan) memutuskan untuk tidak menggunakan kuasa nuklear di Malaysia. Ini adalah dasar (yang diperkenalkan) ketika saya menjadi perdana menteri keempat; ia bukan dasar perdana menteri kelima dan keenam, tetapi saya kini sudah kembali,” ujar beliau.

 

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker