Isu SemasaMalaysiaTempatan

Individu Berusia 18 Tahun Dah Boleh Mengundi Pada PRU15?

Setelah sekian lama memperjuangkan isu menurunkan had umur mengundi di dalam pilihan raya daripada usia 21 tahun kepada 18 tahun, Kabinet akhirnya bersetuju untuk melaksanakan perubahan ini.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, keputusan tersebut telah dimuktamadkan dalam satu mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada hari ini (Rabu).

Menurut Syed Saddiq, kerja-kerja untuk melakukan pindaan ke atas Perlembagaan Persekutuan akan dimulakan tidak lama lagi, dan perkara ini (menurunkan had umur mengundi) juga perlu dibahaskan di dalam sidang Parlimen yang akan datang.

“Salah satu perkara yang perlu dilakukan adalah bekerjasama rapat dengan sayap pemuda parti pembangkang memandangkan 2/3 majoriti diperlukan untuk meminda undang-undang.

“Pada pilihan raya yang seterusnya (PRU15), golongan berusia 18 tahun sudah boleh mengundi, itu adalah pasti,” katanya.

Memetik laporan The Star, Syed Saddiq turut meluahkan keyakinan bahawa parti-parti politik daripada pihak lawan akan memberi kerjasama di dalam perkara ini.

Tambahnya lagi, beliau telah mengadakan perbincangan secara tidak formal dengan beberapa pemimpin pemuda.

“Saya boleh katakan bahawa mereka juga berminat dengan isu ini,” ujar Syed Saddiq.

Seperti yang tertakluk di bawah undang-undang Malaysia pada masa kini, individu yang sudah mencapai usia 18 tahun sudah dianggap sebagai golongan dewasa.

Ini bermakna, individu berkenaan sudah boleh melakukan pelbagai perkara tanpa memerlukan persetujuan ibu bapa/penjaga, seperti mengambil lesen memandu, berkahwin, membuka perniagaan, menandatangani dokumen, membeli hartanah dan sebagainya.

Bukan itu sahaja, malah setelah berusia 18 tahun, seseorang individu itu juga sudah layak dikenakan hukuman-hukuman yang diperuntukkan bagi orang dewasa sekiranya disabitkan bersalah melakukan jenayah.

 

Walau bagaimanapun, satu-satunya perkara yang masih tidak boleh dilakukan adalah mengundi dalam pilihan raya, dan perlu menunggu sehingga mencapai usia 21 tahun.

Difahamkan, had umur mengundi di Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK), Australia, India, Iran, Indonesia, Filipina, Thailand, dan Kemboja, telah pun diturunkan kepada 18 tahun.

Namun, Malaysia dan Singapura sahaja yang masih mengekalkan had usia minimum pada 21 tahun.

 

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker