Isu SemasaPolitikTempatan

UMNO + MIC + MCA + GPS + GBS + PAS + PKR = Pakatan Malaysia?

Kemungkinan penubuhan “Pakatan Malaysia” yang terdiri daripada gabungan beberapa parti politik seperti UMNO, MIC, MCA , Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Bersatu Sabah (GBS), PAS, dan PKR tidak mustahil untuk berlaku.

Menurut Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berikutan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Malaysia menyaksikan keadaan “one political coalition against a myriad of political parties”.

Jelas beliau, ini bermakna bahawa setiap parti politik mempunyai pengaruh dan kepentingan strategik tersendiri dalam pembentukan kerajaan, di mana mereka juga perlu menjadi lebih “terbuka” untuk terus kekal relevan.

“Apa yang pasti adalah UMNO, PAS, MIC, MCA, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Bersatu Sabah (GBS), dengan formula yang tepat, akan mampu membentuk sebuah pakatan politik yang akan memberi tentangan hebat kepada Pakatan Harapan (PH).

“Ia juga tidak mustahil bagi parti-parti ini untuk bergabung dengan PKR dan membentuk pakatan baru, iaitu Pakatan Malaysia, dan bukan lagi PH,” katanya.

Memetik laporan The Sun Daily, Mohamed Khaled berkata demikian sebagai respon kepada ‘serangan’ terbaru Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin ke atas UMNO.

Difahamkan, Muhyiddin, yang juga Menteri Dalam Negeri, menyatakan bahawa PPBM ditubuhkan kerana “UMNO sudah musnah.”

“Apabila tiba masanya nanti, hanya Tuhan sahaja yang akan tahu peranan, kedudukan, dan masa depan PPBM,” ujar Khaled.

Dalam pada itu, bekas Menteri Besar Johor tersebut turut berpandangan bahawa walaupun pengaruh Umno sudah berkurangan berikutan kekalahan parti itu dalam PRU14, politik Malaysia tidak akan menjadi stabil sekiranya isu berkaitan agama Islam dan Melayu terus diabaikan tanpa sebarang konsensus.

Bukan itu sahaja, malah ujar beliau, Umno akan terus memainkan peranan yang lebih besar berbanding PPBM memandangkan parti keramat itu adalah parti Melayu yang dominan.

“Umno akan terus bertanggungjawab. Malah, Umno akan memainkan peranan lebih besar daripada PPBM, kerana PPBM masih belum menjadi parti politik Melayu yang dominan,” katanya.

Menyifatkan kekalahan UMNO dalam pilihan raya umum lalu sebagai “pengajaran besar”, namun Mohamed Khaled berkata, parti itu akan belajar daripada kesilapannya.

“Itulah fitrah kehidupan. Kami tidak menyesal. Kami akan belajar daripada kesilapan. UMNO faham pengajaran besar ini dan berhasrat untuk tidak mengulanginya lagi,” tambah beliau.

 

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Baca Juga

Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker