AntarabangsaAsiaIsu Semasa

Tentera Myanmar Perlu “Dibuang” Terus Daripada Politik

Baru-baru ini, pasukan penyiasat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan bahawa tentera berkuasa di Myanmar (Tatmadaw) patut dibuang terus daripada politik.

Menurut AFP, kenyataan tersebut dikeluarkan dalam laporan akhir penyiasat yang mengulangi pendirian PBB agar pegawai-pegawai tertinggi tentera negara itu didakwa atas kesalahan melakukan jenayah “pembunuhan beramai-ramai” atau genosid terhadap etnik minoriti Islam Rohingya.

Operasi ketenteraan yang dilaksanakan oleh Myanmar pada tahun lepas telah menyebabkan lebih daripada 700,000 warga Rohingya terpaksa melarikan diri ke Bangladesh.

Di dalam laporan PBB yang mempunyai 444 muka surat itu, ia turut menggesa supaya kepimpinan tertinggi tentera digantikan dan pada masa yang sama memastikan supaya Tatmadaw tidak lagi mempengaruhi pentadbiran negara.

Difahamkan, tentera Myanmar mendominasi negara majoriti Bhudda tersebut, dan juga memegang suku daripada 440 kerusi di Parlimen serta mengawal tiga buah kementerian utama, iaitu:

1. KementerianPertahanan

2. Kementerian Dalam Negeri

3. Kementerian Hal Ehwal Sempadan

Hal ini sekali gus memberi kuasa yang amat besar kepada tentera, dan mereka juga mempunyai kuasa veto di dalam Parlimen untuk melakukan sebarang pindaan terhadap Perlembagaan.

Walau bagaimanapun, laporan PBB menegaskan bahawa kerajaan pimpinan orang awam “perlu berusaha ke arah pembuangan Tatmadaw daripada politik Myanmar”.

Laporan PBB juga adalah inklusif dan mempunyai maklumat yang terperinci berdasarkan siasatan yang dilakukan selama 18 bulan, dan ia turut membabitkan 850 temubual secara mendalam dengan pelbagai pihak yang berkenaan.

Ia turut menyeru masyarakat antarabangsa untuk menjalankan siasatan ke atas barisan kepimpinan tertinggi tentera termasuk Jeneral Min Aung Hlaing, atas kesalahan jenayah genosid.

Namun begitu, Tadmadaw telah menafikan sekeras-kerasnya sebarang bentuk salah laku, sambil menegaskan bahawa kempen ketenteraan yang dilaksanakan bertujuan untuk “menangkis” kumpulan pemberontak Rohingya.

Tetapi pasukan PBB berkata, langkah yang diambil oleh tentera itu dilihat “berlebihan” dan tidak sesuai digunakan untuk menangani ancaman keselamatan sebenar yang berlaku di sana.

Dalam pada itu, pasukan penyiasat menyarankan supaya Tatmadaw melakukan penstrukturan semula dan proses tersebut perlu dimulakan dengan menggantikan kepimpinan sedia ada terlebih dahulu.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker