Isu SemasaPolitikTempatan

Apa Yang Anwar Pelajari Selepas 11 Tahun ‘Keluar Masuk’ Penjara?

Baru-baru ini, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar telah menepis pandangan sesetengah pihak yang melihat beliau sebagai seorang individu yang “terlalu tua” dan tidak lagi relevan untuk menjadi pemimpin.

“Terdapat segelintir pihak yang berkata saya semakin tua dan tidak lagi relevan kerana saya bersikap sinis dan menolak kepimpinan muda.

“Namun, saya juga menjadi pemimpin yang memberi kebanyakan peluang kepada pemimpin-pemimpin yang lebih muda,” katanya ketika berucap pada pada majlis makan malam Pidato Malaysia Baharu: Mengisi Harapan Rakyat, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada Ahad.

Memetik laporan media tempatan, beliau turut menegaskan agar barisan pemimpin muda tidak “melanyak” individu-individu yang menyokong mereka.

Anwar berkata, walaupun berlaku perubahan kepimpinan, semangat reformasi tidak patut dihentikan dan selain daripada menekankan idea, nilai-nilai moral juga perlu diberi perhatian untuk menolak penindasan, rasuah, dan keangkuhan.

Dalam pada itu, ahli politik veteran itu turut mendedahkan apa yang telah beliau pelajari sepanjang perjalanannya ‘keluar masuk’ penjara selama 11 tahun.

Menurut Anwar, beliau kini menjadi insan yang lebih pemaaf dan mudah bersimpati kepada mereka yang melalui penderitaan.

Bukan itu sahaja, malah ketika berada di dalam penjara, beliau banyak bergaul bersama golongan-golongan “bawahan”, termasuk banduan warga asing.

“Saya pernah menyaksikan anak muda yang dipenjarakan kerana hanya mencuri seluar jeans dan warga asing yang datang ke sini untuk mencari rezeki tetapi ditipu dan dihukum penjara ,” katanya.

Mengangkat Islam sebagai agama yang mempromosikan sifat belas kasihan dan pengampunan, Anwar turut menyatakan bahawa beliau telah memaafkan Tun Dr. Mahathir Mohamad di atas masa silam ‘gelap’ yang berlaku di antara mereka.

Anwar juga yakin bahawa Dr. Mahathir akan membuka laluan untuknya menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-8 seperti yang telah dipersetujui oleh pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan (PH) pada bulan Januari 2018.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker