Isu SemasaMalaysiaTempatan

Kumpulan Pengganas Salah Tafsir Hadis Mengenai Imam Mahdi

Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah berjaya menggagalkan plot anggota pengganas untuk menyerang “tempat-tempat maksiat” di Melaka dengan menggunakan bom asap.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata, seramai 5 orang suspek telah ditahan, dan mereka ini juga adalah sebahagian daripada 10 orang suspek pengganas yang ditangkap dalam beberapa siri operasi polis di tujuh negeri pada bulan lepas.

Menurut beliau, penahanan suspek-suspek yang berusia di antara 18 hinggga 53 tahun itu dilakukan di antara 11 hingga 31 Ogos di Selangor, Pahang, Johor, Terengganu, Kelantan, Melaka, dan Pulau Pinang.

“Lelaki-lelaki itu adalah anggota dua kumpulan sel pengganas yang telah merancang untuk bekerjasama dengan kumpulan (pengganas) Timur Tengah.

“Kumpulan itu dikenali sebagai Ar Rayah. Mereaka berusia di antara 18 dan 50 tahun. Suspek utama daripada sel pengganas merancang untuk melancarkan serangan bom asap di kawasan-kawasan maksiat di Melaka,” kata Fuzi.

Dalam pada itu, beliau menyatakan bahawa serangan di Melaka tersebut bertujuan untuk mencetuskan panik dan huru-hara dalam kalangan pemilik-pemilik pusat hiburan selain daripada mencederakan mereka.

Memetik laporan Straits Times, suspek utama yang berkaitan dengan Ar Rayah telah ditahan pada 25 Ogos, manakala 4 orang lagi ditahan di Kelantan dan Pulau Pinang pada Hari Kebangsaan Malaysia, 31 Ogos 2018.

Difahamkan salah seorang daripada suspek adalah warga asing berusia 50 tahun yang bekerja di sebuah restoran.

Dia merupakan anggota kumpulan pengganas di sebuah negara Asia Tenggara yang mempromosikan “perjuangan dan ideologi” kepada ahli-ahli Ar Rayah menerusi WhatsApp.

Suspek warga asing itu juga dipercayai memainkan peranan besar dalam mempengaruhi anggota-anggota Ar Rayah untuk menderma wang bagit ujuan membeli senjata.

Sementara itu, 5 orang lagi suspek yang ditahan adalah anggota sebuah lagi sel pengganas yang dikenali sebagai Asoib (Pemuda dari Timur).

“Mereka merancang untuk bekerjasama dengan kumpulan pengganas asing dari negara Timur Tengah untuk melancarkan serangan di sebuah negara bersempadan,” ujar Fuzi.

Tambah beliau lagi, ahli-ahli sel pengganas juga telah membuat tafsiran yang salah terhadap sebuah hadis mengenai Imam Mahdi.

“Mereka mempercayai bahawa Imam Mahdi akan muncul di Makkah pada tahun ini. Kumpulan ini kemudian dipercayai akan bergabung dengan tentera Imam Mahdi untuk menyerang negara-negara sekular dan menentang Dajjal,” jelas beliau.

Sejak tahun 2013 sehingga kini, PDRM telah menahan seramai 420 individu yang disyaki mempunyai kaitan dengan keganasan.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker