Isu SemasaMalaysiaTempatan

Tahukah Anda Apa Itu ‘Lesen Terbang’?

Memiliki lesen memandu kenderaan/motosikal merupakan keperluan dan juga “impian” setiap orang kerana ia akan membolehkan kita untuk bergerak ke mana-mana sahaja dengan mudah.

Walau bagaimanapun, terdapat sesetengah individu yang memilih jalan mudah dan salah dengan mendapatkan ‘lesen terbang’.

Apa sebenarnya ‘lesen terbang’ ini?

Turut dikenali sebagai ‘lesen kopi-o’, ia merupakan lesen memandu yang diperoleh secara tidak sah/haram dengan membayar pihak-pihak tertentu tanpa perlu menduduki ujian bertulis dan praktikal.

Gejala ini telah lama berleluasa, dan kalau anda adalah salah seorang pemilik lesen terbang, lebih baik serahkannya kepada pihak berkuasa secepat mungkin kerana hukuman berat bakal menanti anda sekiranya tidak berbuat demikian.

Baru-baru ini, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook mengeluarkan amaran keras dan memberi tempoh sebulan kepada kira-kira 14,000 individu yang disyaki memiliki lesen ini untuk menyerahkannya kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Sekarang kami beri peluang untuk mereka serah balik lesen kepada JPJ, tampil ke depan menjadi saksi pendakwaan bahawa anda beli dari siapa, kami tidak akan mengambil tindakan kalau anda datang secara sukarela.

“Tetapi jika dalam sebulan, anda tidak tampil ke hadapan, mana-mana pihak yang memegang lesen memandu tanpa mengikut prosedur ditetapkan, jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987, hukuman minimumnya denda RM5,000 atau penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Memetik laporan media tempatan, walaupun majoriti daripada jumlah itu adalah rakyat Malaysia, namun terdapat juga warga asing yang memegang lesen terbang, khususnya warga China.

Menurut Loke, pihaknya mempunyai data serta maklumat individu-individu yang terlibat selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya menumpaskan sebuah sindiket yang didapati mengeluarkan lesen memandu tanpa prosedur sah.

Difahamkan, sindiket berkenaan membabitkan 12 ‘orang dalam’ daripada JPJ yang terdiri daripada pegawai dan anggota biasa.

Ujar beliau, kumpulan haram itu menjalankan modus operandi mereka dengan memalsukan maklumat menerusi Prosedur Penukaran Lesen Memandu Luar Negara, dan kemudian mengeluarkan dan menjual lesen terbang pada harga di antara RM2,000 sehingga RM3,500.

Sindiket berkenaan mengeluarkan lesen terbang bagi kenderaan (kelas D), dan mereka juga berani mempromosikan ‘perkhidmatan’ secara terbuka dalam ruang media sosial.

Jelas Loke, setakat ini, SPRM telah melakukan operasi tangkapan yang membabitkan pegawai dan anggota JPJ di negeri Perlis, Perak, Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak.

Namun tambah beliau, siasatan SPRM mungkin akan membawa kepada lebih banyak tangkapan dalam masa terdekat.

“Kita memang serius membanteras kes rasuah dan salah guna kuasa dalam agensi kerajaan, walaupun mereka masih belum didakwa, tetapi kementerian ini ada hak untuk menahan kerja mereka,” tegas Loke.

Dalam usaha membendung gejala ini, Kementerian Pengangkutan akan mengetatkan lagi peraturan, di mana Prosedur Penukaran Lesen Memandu Luar Negara kini hanya boleh dilakukan di JPJ negeri sahaja, tidak lagi pada cawangan.

Jadi sekiranya anda adalah seorang pemegang lesen terbang, serahkan lesen anda kepada pihak berkuasa secara rela dalam tempoh sebulan ini jika tidak mahu dikenakan tindakan undang-undang.

Ingatlah bahawa gejala ini bukan hanya akan memudaratkan institut-institut memandu, tetapi juga akan mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya yang lain kerana kewujudan pemandu-pemandu yang tidak kompeten yang ‘dihasilkan’ dengan mengambil lesen terbang.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker