AntarabangsaIsu Semasa

AS Pasti ‘Kecut’ Tengok Gabungan Tentera China Dan Rusia

Baru-baru ini, China dan Rusia berikrar untuk mengukuhkan lagi hubungan ketenteraan di antara satu sama lain dan meningkatkan keupayaan pertempuran bagi menangani pelbagai ancaman keselamatan dengan lebih berkesan.

Ikrar tersebut dilakukan selepas latihan ketenteraan Rusia yang terbesar dilakukan sejak era Perang Dingin pada tahun 1980-an (Vostok-2018) yang bermula pada Selasa, 11 September 2018, melabuhkan tirainya pada Khamis, 13 September 2018.

Latihan tersebut yang dijalankan di wilayah Trans-Baikal turut dihadiri oleh Presiden Rusia Vladimir Putin dan Menteri Pertahanan China, Wei Fenghe.

Menurut Wei, latihan itu mencerminkan keyakinan dan kesungguhan China-Rusia untuk bersama-sama mempertahankan keamanan dan keselamatan serantau, sambil meningkatkan keupayaan tentera kedua-dua negara dalam bertindak balas menentang ancaman keselamatan.

“Kedua-dua negara perlu mengukuhkan lagi kerjasama strategik dan terus mempromosikan pembangunan hubungan ketenteraan,” katanya.

Dalam ucapan pembukaannya sebelum latihan bermula, Putin menyatakan bahawa Rusia akan terus meningkatkan kerjasama ketenteraan antarabangsa dengan negara-negara lain serta menguatkan lagi angkatan bersenjata tempatan.

Beliau turut memuji anggota-anggota tentera Rusia dan China yang menyertai latihan besar-besaran itu untuk menunjukkan keupayaan dan kekuatan masing-masing.

Memetik laporan Asia News Network, latihan itu disertai oleh kira-kira 300,000 anggota tentera Rusia, dan turut membawa keluar senjata dan peralatan perang lainnya termasuk peluru berpandu Iskander, kereta kebal T-80 dan T-90, serta jet pejuang Su-34 dan Su-35.

Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) China pula membawa 3,200 anggota, dan juga mempamerkan lebih daripada 1,000 jenis jentera perang termasuk kereta kebal tempur Type-99, kenderaan tempur infantri ZBD-08, helikopter penyerang WZ-9 dan WZ-10, helikopter Mi-171 dan pesawat pengebom JH-7A.

Sementara itu, Shao Yuanming, Naib Ketua Turus Suruhanjaya Ketenteraan Pusat China berkata, pasukan tentera Rusia-China dapat mengeratkan lagi hubungan persahabatan, meningkatkan kepercayaan bersama dan memupuk kerjasama menerusi latihan berkenaan.

Walau bagaimanapun, kerajaan Beijing menjelaskan bahawa latihan tersebut tidak ditujukan kepada mana-mana pihak ketiga.

Penglibatan tentera China di dalam Vostok-2018 ini juga dilaporkan menjadi latihan ketenteraan antarabangsa yang terbesar disertai oleh negara itu sejak PLA melaksanakan penstrukturan semula pada tahun 2016.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker