Amerika SyarikatAntarabangsaIsu Semasa

AS Pertimbang Serang Syria Jika Ia Masih ‘Degil’ Menggunakan Senjata Kimia

Pada Sabtu lalu (8 September 2018), Ketua Turus Tentera Amerika Syarikat (AS), Jeneral Joseph Dunford menyatakan bahawa beliau mengadakan “dialog rutin” bersama Presiden Donald Trump mengenai tindakan ketenteraan yang boleh diambil ke atas Syria sekiranya negara itu mengabaikan amaran AS untuk tidak menggunakan senjata kimia dalam serangan di bandar Idlib.

Namun menurut Dunford, masih tiada sebarang keputusan yang dibuat oleh kerajaan AS untuk mengerahkan tentera ke Syria sebagai tindak balas terhadap serangan kimia di sana pada masa akan datang.

“Tetapi kita sedang dalam proses dialog, dialog rutin, bersama presiden untuk memastikan beliau tahu status kita dalam membuat perancangan sekiranya senjata kimia digunakan.

“Beliau (Trump), menjangkakan kita untuk mempunyai rancangan ketenteraan dan kita telah pun memberi maklumat terkini kepadanya tentang perkembangan itu,” katanya.

Memetik laporan Reuters, Presiden Syria, Bashar al-Assad telah menghantar tentera-tentera miliknya dan sekutu-sekutunya di barat laut.

Pesawat pejuang milik Rusia juga telah menyertai operasi pengeboman ke atas kumpulan pemberontak di sana walaupun tindakan itu dibantah oleh Turki.

Sementara itu, seorang pegawai AS mendedahkan bahawa terdapat “banyak bukti” yang menunjukkan senjata kimia disediakan oleh tentera kerajaan Syria di Idlib.

Rumah Putih turut memberi amaran bahawa AS dan sekutu-sekutunya akan bertindak balas dengan “pantas dan agresif” sekiranya tentera Syria didapati menggunakan senjata berkenaan di Idlib.

Sebelum ini, tentera AS di bawah pentadbiran Trump telah mengebom Syria sebanyak dua kali pada bulan April 2017 dan April 2018, berikutan dakwaan negara itu menggunakan senjata kimia.

Pegawai tentera tertinggi Perancis juga menyatakan bahawa pasukannya sudah bersedia untuk melancarkan serangan ke atas Syria jika senjata kimia digunakan.

Dalam pada itu, Idlib merupakan satu-satunya kubu kuat pemberontak yang masih kekal dan serangan terkini tentera kerajaan mungkin akan menjadi penentu terakhir pertempuran.

Jumaat lepas juga, Presiden Turki, Iran, dan Rusia gagal mencapai persetujuan untuk melaksanakan gencatan senjata yang bertujuan untuk menghalang pertempuran tentera dan pemberontak Syria.

Difahamkan, peperangan di negara itu telah meragut nyawa lebih daripada setengah juta orang dan menyebabkan 11 juta penduduk terpaksa meninggalkan kediaman mereka.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker