Isu SemasaMalaysiaTempatan

Kerajaan Tiada Rancangan Turunkan Harga Minyak, Kecuali Kalau……

Kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) tidak mempunyai rancangan untuk menurunkan harga minyak petroleum kepada RM1.50 seliter, melainkan harga minyak mentah dunia jatuh ke paras itu.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah berkata, janji untuk berbuat demikian juga tidak terkandung dalam manifesto PH pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, seperti mana yang didakwa oleh sesetengah pihak.

“Saya mencari di mana RM1.50 (disebut) dalam buku Pakatan Harapan, tetapi tidak ada.

“Tidak tahulah jika ada pihak yang dalam keghairahan berkempen menjanjikan perkara itu,” katanya dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Negara, pada Rabu.

Memetik laporan Bernama, beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Senator Datuk Ng Chiang Chin mengenai jumlah subsidi minyak yang dibelanjakan oleh kerajaan serta rancangan untuk menurunkan harga ke RM1.50 seperti yang didakwa dijanjikan.

Menurut Amiruddin, kerajaan telah menanggung subsidi untuk minyak RON95 sebanyak RM1.667 bilion sejak memenangi PRU14 pada bulan Mei sehingga Julai tahun ini

Ujar beliau, kerajaan masih mengekalkan harga runcit RON95 pada RM2.20 seliter, dan Diesel pada harga RM2.18 seliter, walaupun harga pasaran sebenar adalah lebih tinggi.

Difahamkan, keputusan untuk mengekalkan harga RON95 dan diesel telah dimuktamadkan pada 7 Jun, iaitu sebahagian daripada janji PH bagi menstabilkan harga minyak, dalam usaha mengurangkan beban kos sara hidup yang ditanggung oleh rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah (B40).

Bercakap mengenai RON97 pula, Amiruddin menyatakan bahawa harga minyak itu dibiarkan terapung berdasarkan nilai pasaran setiap minggu, memandangkan ia dianggap sebagai produk premium yang digunakan oleh individu-individu yang tergolong dalam kelas lebih tinggi.

Dalam pada itu, kerajaan juga akan melaksanakan sistem subsidi minyak petrol bersasar khas untuk golongan-golongan yang memerlukan.

“Kerajaan akan menyediakan subsidi petrol pada kadar yang berpatutan setiap bulan, dan mengikut quota yang akan ditentukan bagi golongan yang layak, seperti motosikal dengan kapasiti 125cc dan ke bawah serta kenderaan 1300cc ke bawah.

“Mekanisme sistem subsidi bersasar ini sedang dikaji, dan kami akan mengumumkannya sejurus ia dimuktamadkan,” jelas beliau.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker