MalaysiaPolitik

Kali Ketiga Kerusi Dikosongkan Untuk Anwar Ibrahim

Seperti yang diumumkan, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan bertanding di kerusi Port Dickson di Negeri Sembilan untuk kembali ke Parlimen.

Danyal Balagopal Abdullah, Ahli Parlimen PKR semasa Port Dickson akan mengosongkan kerusinya untuk membuka jalan bagi pilihan raya kecil diadakan.

Pilihan raya kecil ini akan menjadi PRK yang keempat diadakan selepas PRU-14, menyusuli PRK Sungai Kandis, Balakong dan Seri Setia yang baru sahaja berlangsung pada 8 September lalu.

Pengumuman ini juga mengakhiri teka-teki di mana kerusi Anwar akan bertanding, kerana sumber parti utama sebelum ini menyenaraikan tiga kerusi iaitu Sungai Petani, Alor Setar dan Port Dickson.

Danyal, bekas pegawai tentera laut, sebelum ini berkata beliau menyokong PKR sejak 2008 tetapi dipercayai secara rasmi menyertai parti itu sebagai ahli hanya baru-baru ini, menurut sumber parti.

Beliau juga sebelum ini mengatakan bahawa keputusannya untuk bertanding di kerusi Port Dickson dalam PRU14, adalah keputusan saat akhir yang dibuat oleh pemimpin parti.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Danyal memenangi kerusi Port Dickson dengan 36,225 undi manakala VS Mogan dari Barisan Nasional menerima 18,515 undi dan calon PAS, Mahfuz Roslan memperoleh 6,594 undi. Ini memberikan Danyal majoriti yang selesa sebanyak 17, 710 undi.

Pilihan raya kecil ini akan menjadi kali ketiga penyandang terpaksa mengosongkan kerusi untuk membuka jalan kepada Anwar Ibrahim dalam masa satu dekad.

Pada 2008, isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen PKR di Permatang Pauh untuk membuka jalan bagi suaminya kembali ke Parlimen.

Pilihan raya kecil 26 Ogos itu membuahkan hasil apabila Anwar menang di kerusi berkenaan walaupun didakwa dengan tuduhan liwat di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan pada 7 Ogos tahun itu.

Dalam pertandingan tiga penjuru melawan calon Barisan Nasional, Datuk Arif Shah Omar Shah dan calon Angkatan Keadilan Insan Malaysia, Hanafi Hamat, Anwar memenangi majoriti 15,671 undi.

Kali kedua menerusi Langkah Kajang, Ahli Dewan Undangan Negeri Kajang, Lee Chin Cheh mengosongkan kerusi itu pada 27 Januari 2014 untuk membolehkan Anwar bertanding kerusi itu.

Tetapi Anwar dihalang daripada bertanding selepas sabitan oleh Mahkamah Rayuan atas kes liwatnya.

Dr Wan Azizah kemudian menggantikan Anwar sebagai calon. Beliau memenangi pilihan raya itu yang menentang Datin Paduka Chew Mei Fun, calon Barisan Nasional dengan majoriti 5,379 undi. – The Star

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker