Isu SemasaMalaysia

Rehda Akan “Pujuk” Ahli-Ahli Pemaju Turunkan Harga Rumah

Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) Pulau Pinang meluahkan kesediaan untuk mengurangkan harga rumah di antara 6% dan 10% dan akan memujuk ahli-ahli persatuan itu agar mengambil langkah yang serupa selepas pelbagai barang binaan dikecualikan daripada Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) oleh Kementerian Kewangan.

Memetik laporan Bernama, Pengerusi Rehda Pulau Pinang, Datuk Toh Chin Leong berkata, persatuan berkenaan memutuskan untuk mengambil langkah ini berikutan perbincangan dengan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Difahamkan, diskaun 10% akan diberikan kepada unit-unit rumah bernilai RM300,000 ke atas, manakala 6% pula adalah bagi kediaman-kediaman dengan harga “mampu milik.”

Menurut Toh, pemaju-pemajunya turut menyambut baik pelaksanaan SST kerana sistem cukai ini dapat mengurangkan beban pengurusan kos mereka untuk membeli bahan-bahan pembinaan.

“Tiada cukai yang dikenakan ke atas barang-barang (binaan) seperti pasir, simen dan konkrit. Jadi kami bersetuju menyalurkan ‘keuntungan’ ini kepada pengguna,” katanya dalam sebuah sidang media.

Dalam pada itu, Lim juga memuji langkah yang diambil oleh Rehda untuk mengurangkan kos perumahan memandangkan SST adalah sistem yang memberi pengecualian cukai ke atas lebih banyak barangan berbanding Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Menyifatkannya sebagai langkah yang positif, Menteri Kewangan itu turut menyatakan bahawa kerajaan berharap ia akan dicontohi dan diguna pakai oleh pemaju-pemaju hartanah di seluruh Malaysia.

“Ia merupakan satu langkah positif. Terima kasih kepada Rehda kerana mereka adalah badan korporat yang memang bertanggungjawab dan mereka tidak mengambil kesempatan kerana mereka telah dapat berjimat daripada cukai. Mereka (Rehda) tidak akan untung daripada penjimatan cukai tetapi akan menyalurkan keuntungan ini kepada orang ramai.”

Selain itu, Lim juga meluahkan harapan supaya Rehda Pulau Pinang akan dapat menasihati ahli-ahli persatuan itu di seluruh negara melaksanakan langkah yang serupa.

“Ini juga sebagai usaha membalas usaha kerajaan yang memberikan pengecualian cukai binaan yang mana harga rumah sepatutnya boleh turun,” katanya.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker